Melaka mangsa kebangkitan Lang Merah - Utusan Malaysia

Melaka mangsa kebangkitan Lang Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 19 Mei – Kedah dipaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum menumpaskan Melaka United 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini, sebentar tadi.

Kemenangan berharga itu bukan sahaja melunaskan dendam Lang Merah terhadap skuad Sang Kancil yang menewaskan mereka 1-0 dalam pusingan pertama Liga Super, bulan lalu, malah membolehkan Kedah kembali ke tangga ketiga liga.

Kejayaan PKNP FC mengikat Selangor 1-1 dalam aksi di Manjung membolehkan Kedah berkongsi 22 mata dengan Red Giants tetapi dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedah bagaimanapun memerlukan ‘bantuan gol’ daripada pemain import Melaka United, Jang Sukwon yang tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-70 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di Darul Aman itu.

Kemenangan itu juga adalah kebangkitan paling sempurna buat Lang Merah selepas dikalahkan 3-1 oleh Selangor dalam aksi terakhir mereka, Rabu lalu.

Dalam aksi di hadapan lebih 5,000 orang penyokong itu menyaksikan anak-anak buah Aidil Sharin Sahak lebih menguasai permainan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya khususnya pada babak kedua.

Melaka United bagaimanapun berjaya mendahului tuan rumah pada minit ke-31 menerusi penyerang importnya, Luka Milunovic yang bijak menyudahkan hantaran hasil sepakan percuma Safiq Rahim.

Tersentak dengan gol itu, Kedah mula memperkemaskan rentak permainan dengan melancarkan beberapa serangan balas pada babak pertama namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan Melaka United.

Bermula babak kedua, Kedah terus melancarkan serangan dan berjaya menyamakan kedudukan hasil tandukan terbang cantik kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang menyudahkan hantaran lintang Jonatan Jesus Bauman pada minit ke-60.

Selang 10 minit kemudian, Kedah berjaya menjaringkan gol kedua apabila hantaran Mohammad Farhan Roslan pada minit ke-70 telah tertampan oleh Sukwon ke gawang sendiri sekali gus meranapkan impian Melaka United untuk menjadi pasukan pertama mengalahkan Lang Merah di Darul Aman musim ini.

Dengan kemenangan itu, Kedah berjaya mengekalkan kedudukan di tangga keempat Liga Super ketika ini dengan mengumpul 22 mata selepas 14 perlawanan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini