KUALA LUMPUR 13 Mei – Setiap kali ketibaan bulan Ramadan, pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik bagi menikmati Ramadan dengan sempurna.
MBSB Bank Berhad tidak ketinggalan dengan meraikan anak-anak yatim dan 13 wakil pertubuhan rumah kebajikan seramai 200 orang dalam majlis berbuka puasa serta penyampaian sumbangan menjelang hari raya Aidilfitri di Hotel Aloft di sini baru-baru ini.

Mereka yang diraikan adalah daripada Asrama Darul Falah (ASDAF) dan Persatuan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai Kuang.
Ketua Pegawai Korporat MBSB Bank, Azlina Mohd. Rashad berkata, sebagai sebuah institusi perbankan Islam, pihaknya sentiasa mementingkan tanggungjawab kepada semua golongan asnaf dan memerlukan.
“Kesejahteraan anak-anak yatim sememangnya sentiasa diambil berat oleh MBSB Bank dan kami sentiasa berusaha utnuk menyumbang ke arah memperbaiki traf hidup mereka.
“Harapan saya agar dapat menambah barakah dan silaturahim sesama kita bersempena bulan ramadan yang mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Majlis itu turut meraikan kakitangan MBSB Bank yang menyambung pengajian ke institut pengajian tinggi sambil berkhidmat dengan institusi perbankan tersebut dan turut memberikan penghargaan kepada anak-anak kakitanganya yang cemerlang dalam peperiksaan peringkat nasional.
Azlina menambah, terdahulu MBSB Bank telah memberi sumbangan kepada dua buah rumah kebajikan iaitu Pusat Jagaan Kasih Illahi dan Pertubuhan Kebajikan Anak Kesayanganku Selangor.
“Sumbangan tersebut bernilai RM60,000 dari segi barangan elektrik dan keperluan dapur untuk kedua-dua rumah kebajikan sebagai persiapan menjelang bulan Ramadan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











