PORT DICKSON 28 Mei – Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan di sebuah rumah di Kampung Jimah Lama dekat sini semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, Ismail Ariffin, 72, ditemukan terbaring di dalam rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam kira-kira pukul 6.50 petang.
“Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.
“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati, si mati tinggal seorang diri dan dipercayai telah meninggal dunia hampir dua minggu ekoran keadaan mayat yang telah kembung dan berulat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan juga mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dalam kematian mangsa.
Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Sehingga kini, tambahnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE











