Matrikulasi: Menteri Pendidikan mesti realistik, tegas - Utusan Malaysia

Matrikulasi: Menteri Pendidikan mesti realistik, tegas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik perlu lebih teliti dan menganalisis isu kuota kemasukan pelajar ke program matrikulasi dalam konteks yang lebih besar.

MASZLEE MALIK
MASZLEE MALIK 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Maszlee juga perlu memberi perhatian dalam pelbagai aspek sebelum mempertimbangkan apa juga pandangan yang diberikan oleh mana-mana parti politik dalam isu tersebut.

Berikut merupakan kenyataan penuh Mohamed Khaled yang juga merupakan bekas Menteri Pengajian Tinggi;

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya tertarik mengulas gesaan Pemuda DAP agar Menteri Pendidikan menerima cadangan mereka, khususnya seperti yang disiarkan pada 22 Mei 2019 oleh portal berita Malaysiakini. Lebih penting, saya sangat terkesan dengan cara Menteri Pendidikan menyambut gesaan tersebut dengan penuh keterujaan.

Pada saya, gesaan sedemikian sudah tentulah sarat dengan motif politik serta retorik kosong yang sangat mengelirukan. Itu tidak pelik. Kerana ia datang dari

sebuah parti politik yang kononnya anti perkauman tetapi sentiasa menggunakan alasan kaum untuk mengangkat agendanya.

HOWARD LEE
HOWARD LEE 

Yang peliknya adalah ketidak telitian menteri untuk terlebih dahulu menganalisis isu ini dalam konteks yang lebih besar. Terdapat beberapa perkara yang Menteri Pendidikan mesti beri perhatian dalam mempertimbangkan apa-apa cadangan yang diberikan oleh mana-mana parti politik.

Pertama, program matrikulasi adalah satu instrumen intervensi dalam pengajian tinggi. Ia bukan instrumen yang bersandarkan kesempurnaan, tetapi keseimbangan. Benar pelaksanaannya mempunyai kekurangan tetapi ia bukan sistem yang bergerak menggunakan konsep ideal dan falsafah mandatori.

Matlamat matrikulasi adalah untuk memastikan negara seperti Malaysia yang diberkati dengan kemajmukan kaum serta latar sosioekonomi yang berbeza-beza ini, menyediakan satu laluan yang boleh mewujudkan keseimbangan peluang. Keseimbangan yang akhirnya boleh membetulkan kesenjangan dan jurang yang jika tidak diuruskan dengan baik, pasti akan melebar dan menjadi lebih teruk.

Kedua, program matrikulasi bukan tentang merit akademik secara mutlak dan jumlah A semata-mata. Ia tidak boleh dijadikan saluran yang celik kecemerlangan tetapi buta dalam melihat demografi masyarakat yang membentuk satu ‘social conundrum’ yang kompleks.

Sebab itu, pada saya, cadangan pemuda DAP yang mahu kerajaan menjadikan ranking pelajar dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebagai kaedah kemasukan universiti hanya membuktikan dengan lebih jelas bentuk pemikiran dan keghairahan mereka dalam menuntut kesamarataan mutlak. Ia menunjukkan betapa mereka tidak faham, atau sengaja bertindak tidak faham, bahawa pendidikan bukan sahaja tentang siapa yang paling cemerlang dan mendapat markah tertinggi.

Benar, merit dan kecemerlangan mesti menjadi nadi pendidikan tetapi peluang membetulkan jurang dan memperbaiki diri serta susun atur masyarakat adalah perkara yang tidak boleh diketepikan sama sekali.

Ketiga, Menteri Pendidikan mesti menilai semula dakwaan pemuda DAP yang mengaku bahawa isu matrikulasi adalah isu kesamarataan yang tidak sepatutnya dipolitikkan. Pada saya, ini adalah contoh terbaik peribahasa ibarat meludah ke langit.

Bukankah mereka sendiri yang membakar-bakar isu ini dengan mengheret elemen bangsa ke dalamnya? sedangkan kerajaan dari dahulu sehingga kini melihat program matrikulasi sebagai intervensi sosial yang bebas dari pengaruh politik.

Saya pasti, jika isu ini bukan tentang laluan untuk ke universiti seperti isu tuntutan lebih banyak penyertaan dan keseimbangan kaum bukan bumiputera dalam unit beruniform untuk sama-sama mempertahankan negara, sudah tentu isu ini tidak akan menjadi serumit dan sehangat ini.

Malah, sudah tentu Pemuda DAP akan diam seribu bahasa, tidak ada idea, tidak ada cadangan yang hendak dikemukakan. Mengapa? Kerana perkara seperti itu tidak ada kepentingan politik kepada mereka biarpun jelas ia mempunyai kepentingan kepada negara secara keseluruhannya.

Saranan saya kepada Menteri Pendidikan, jadilah lebih prihatin dan sensitif terhadap sistem negara dan keadaan masyarakat. Jangan tidak berpijak pada asas yang kukuh. Tetapi, lihatlah kembali empat perkara seperti adakah wujud keseimbangan dalam institusi pendidikan tinggi kita sekarang ini? terutamanya penyertaan dalam jurusan-jurusan yang kritikal.

Berapa peratusan sebenar mereka yang kononnya tercicir dan dinafikan haknya kerana sistem ini sedangkan kita tahu, mereka yang tidak dapat ke matrikulasi sebenarnya mempunyai pilihan lain yang juga baik dan tidak menafikan hak mereka malah turut disediakan dan dibiaya kerajaan.

Kita tidak boleh sesekali menafikan jurang dan kesenjangan yang ada dalam masyarakat, jangan sampai dasar kita kelak hanya memastikan yang pandai dan kaya mendapat tempat sedangkan yang kurang bernasib baik tidak dibantu dengan peluang yang selayaknya.

Tidak semua perkara dan sistem negara yang sedia ada mesti diserang dan diubah hanya untuk menunjukkan kita melakukan sesuatu. Sekalipun kita ingin meraikan perubahan dan idea baharu, jangan sampai kita terlepas pandang kepada perkara-perkara asas seperti keseimbangan dan kesenjangan.

Saya harap Menteri Pendidikan akan meneliti cadangan Pemuda DAP dengan berobjektif dan lebih bertanggungjawab tanpa sebarang tekanan dan kegelisahan politik.- UTUSAN ONLINE

*Kenyataan di atas tidak mencerminkan pendirian atau pandangan Utusan, ia merupakan pandangan peribadi penulis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini