SAYA terpanggil untuk memberikan pandangan berhubung isu agihan kuota kaum bagi kemasukan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan dan syarat keperluan bahasa Mandarin yang menjadi kekangan kepada graduan bumiputera memasuki pasaran kerja seperti disuarakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hingga mendapat kritikan beberapa ahli politik bukan bumiputera.
Sekiranya isu ini perlu dilihat sebagai satu pakej dari mula graduan itu memasuki program asas hingga pasaran kerja, maka sistem kuota program matrikulasi masih relevan dengan senario semasa keseimbangan pelajar aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Negara masih menghadapi masalah kekurangan minat pelajar bumiputera untuk melanjutkan pengajian di tingkatan enam aliran sains untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Jika sistem kuota ini diubah, dikhuatiri matlamat kerajaan untuk menyeimbangkan jumlah pelajar bumiputera dengan bukan bumiputera dalam aliran STEM di universiti awam akan terjejas.
Bukan sahaja kuota 90 peratus pelajar bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera ke program matrikulasi masih belum mencapai sasaran agihan seimbang di peringkat ijazah STEM hingga hari ini, malah jumlah graduan bumiputera diterima bekerja di sektor swasta bukan bumiputera dengan jawatan ijazah amat menyedihkan.
Bayangkan jika salah satu platform kuota matrikulasi ini dirombak, maka hasrat kerajaan menjadi lebih jauh untuk mencapai keseimbangan sasaran graduan bumiputera yang memasuki pasaran kerja berteraskan STEM serta berteraskan perniagaan.
Pendapat yang mengatakan kedua-dua isu ini berbeza adalah tidak tepat kerana antara matlamat akhir segala yang dirangka oleh kerajaan ialah untuk melihat keseimbangan kaum dalam pasaran pekerjaan, tetapi ini tidak berlaku malah semakin teruk. Ini boleh dilihat daripada penguasaan pemain sektor swasta industri berat dan sederhana berteraskan STEM dan sektor ekonomi umumnya dikuasai oleh syarikat-syarikat bukan bumiputera.
Justeru strategi asas perlindungan kuota pelajar bukan bumiputera ke matrikulasi amat relevan supaya mereka masih dapat mengisi minimum agihan kek kecil dalam pasaran kerja STEM dan sektor ekonomi.
Kajian penyelidik Universiti Malaya, Dr. Lee Hwok Aun bahawa 1.8 peratus pemohon Melayu yang diterima untuk ditemuduga oleh syarikat milik Cina berbanding pemohon berbangsa Cina iaitu sebanyak 44 peratus adalah satu isu yang menyedihkan. Kajian itu mendapati kelemahan graduan bumiputera untuk menguasai bahasa Mandarin dan bahasa-bahasa lain juga menjadi salah satu faktor tingginya pengangguran graduan bumiputera.
Ini disokong oleh Laporan Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan 2019 yang menyatakan graduan bumiputera mempunyai kadar pengangguran lebih tinggi daripada rakan sebaya yang tidak mempunyai pendidikan tinggi.
Malah Laporan Statistik Kajian Pengesanan Graduan 2017 yang dikeluarkan oleh kerajaan menunjukkan peratusan graduan IPTS mendapat kerja lebih tinggi berbanding universiti awam. Menurut statistik pengangguran berkenaan, seramai 26,776 (52 peratus) graduan universiti awam manakala IPTS 24,804 (48 peratus) dan menjadikan jumlah keseluruhan graduan tamat pengajian 2017 yang menganggur adalah 51,580. Jika dianalisis jumlah graduan berdasarkan kaum, saya percaya majoritinya ialah graduan bumiputera.
Tidakkah fenomena ini boleh mengetuk pintu simpati tolak ansur pemimpin politik bukan bumiputera yang menyuarakan bantahan kuota ini supaya ia dilihat sebagai satu isyarat bahawa apalah sangat dengan kuota pelajar bumiputera ke matrikulasi sedangkan dalam sektor pekerjaan, graduan bumiputera masih tertindas?
PENULIS ialah Ketua Perhubungan Media, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).











