KUALA LUMPUR 6 Mei – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sedang mengadakan pavilion negara dengan penglibatan 13 pempamer Malaysia di Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) 2019 di Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Seksyen Minyak dan Gas, Kimia dan Tenaga Matrade, S. Jai Shankar berkata, acara empat hari yang akan berakhir pada 9 Mei itu berlangsung di NRG Centre, Houston, Texas.
Katanya, Petronas, MISC Bhd. dan TM One, serta beberapa perusahaan kecil dan sederhana daripada sektor minyak dan gas menyertai acara tersebut.
“Pemulihan sektor dan harga minyak mentah global yang beransur-ansur namun stabil telah mengaktifkan semula pelaburan global dalam aktiviti cari gali serta pengeluaran.
“Malaysia memiliki kedudukan sejak sekian lama dalam industri minyak dan gas di Amerika Latin. Pasaran ini bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan kukuh pada tahun-tahun mendatang dan akan menyaksikan pengembangan aktiviti cari gali dan pengeluaran di medan minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Matrade dengan sokongan Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) akan mengaturkan mesyuarat perniagaan dan pembentangan teknikal bagi pempamer Malaysia dengan pembeli berpotensi dikenal pasti lebih awal, termasuk dari Amerika Utara, Mexico, Brazil dan Argentina. – UTUSAN ONLINE










