BINTULU 16 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang hilang di perairan Bintulu, Sarawak sejak Isnin lalu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, Aziz Jaafar Atahar, 69, dari Kampung Sebuan Kecil, Bintulu, telah keluar ke laut berseorangan pada pukul 7.30 malam untuk memancing ikan tetapi tidak pulang sehingga kini.
“Mangsa disyaki hilang di sekitar perairan muara Batang Kemena Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Effendy, kawasan pencarian adalah seluas 50 batu nautika persegi dengan operasi dibantu oleh Pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu.
Beliau menasihatkan sesiapa yang ingin ke laut supaya memakai jaket keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga semasa di perairan. – BERNAMA











