SANGGUPKAH kita melihat saudara se-Islam di Palestin bertarung dengan pelbagai penderitaan dan kesengsaraan sedangkan kemelut itu boleh diatasi dengan menghulurkan bantuan.
Mungkin kita tidak berpeluang atau tidak mampu untuk berjihad mempertahankan tanah suci kenabian itu daripada kerakusan pasukan tentera Zionis, namun masih ada ruang terbaik untuk berbakti dan memperjuangkan nasib saudara seagama itu yang ditindas.
Tanpa perlu mengangkat senjata dan mempertaruhkan nyawa, umat Islam di negara ini boleh menghulurkan bantuan dengan menyumbang menerusi kempen Ramadan Bersama Palestin 2019 (RBP2019) yang dianjurkan oleh Aman Palestin Bhd. (Aman Palestin).
Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab berkata, bertemakan ‘Membasmi Kemiskinan’, kempen tersebut menyasarkan kutipan sumbangan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membekalkan keperluan asas yang diperlukan terutama menjelang Ramadan.
Menurutnya, selain memperuntukkan bekalan makanan mencukupi sepanjang Ramadan, RBP19 turut menghulurkan bantuan barangan keperluan kesihatan, tempat tinggal serta pakaian kepada hampir 100,000 keluarga atau sekitar 700,000 penerima termasuk pelarian.
“Kempen RBP19 digerakkan sejak Mac lalu. Tujuan kita melancarkan kempen ini lebih awal adalah bagi mengumpul dana lebih besar untuk disumbangkan kepada penduduk di Gaza serta Syria. Antara bentuk sumbangan adalah dengan mengadakan majlis bersahur dan berbuka puasa di Masjid al-Aqsa.
“Selain itu, dana yang diterima daripada orang ramai akan disalurkan kepada pelajar miskin, anak yatim, hadiah hari raya serta melaksanakan projek infrastruktur yang bakal dibangunkan di Palestin khususnya di Gaza,” katanya dalam sidang akhbar, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Anas berkata, antara projek yang telah mula dilaksanakan pada tahun ini adalah pembinaan Masjid Syeikh Ajlin di Gaza yang dikendalikan sepenuhnya oleh Aman Palestin Indonesia.
Tambahnya, pembinaan masjid tersebut masih memerlukan dana berjumlah sekitar AS$1.1 juta (RM4.5 juta) manakala Hospital Umum Psikatri Gaza memerlukan dana sebanyak AS$2.5 juta (RM10.3 juta).

MENGHARAP SUMBANGAN
Sehubungan itu katanya, Aman Palestin menyusun program khusus untuk RBP19 termasuk penganjuran Program Bersama Imam Palestin; Kempen Tabung Ramadan Kareem; Pakej RM500 untuk Palestin; sumbangan Ramadan RM50 (R50), Kempen Semarak Ramadan serta Dana Abrar.
Jelasnya, semua program tersebut akan dijalankan dengan kerjasama seluruh lapisan masyarakat di negara ini dan orang ramai dipelawa menjayakan kempen membantu rakyat Palestin.
“Saya berharap orang ramai dapat menjayakan kempen yang dianjurkan ini terutama dalam membantu Aman Palestin mengumpul dana bagi disumbangkan kepada dua juta penduduk Palestin yang tiada pekerjaan dan merupakan penganggur tegar akibat kemelut di negara sendiri.
“Mereka sangat bergantung harap kepada sumbangan yang diberikan oleh pihak luar ekoran kekurangan bantuan dan sekatan yang masih dilaksanakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia (UNCHR),” katanya.
Sepanjang Ramadan tahun lalu katanya, Aman Palestin berjaya mengumpul dana berjumlah RM2.7 juta dan sumbangan tersebut telah dimanfaatkan oleh 50,000 penerima.
Jelasnya, Aman Palestin ada menyediakan program bantuan tetap secara berkala kepada orang ramai di negara ini untuk menderma serendah RM10, sekali gus menyediakan peluang lebih luas kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah untuk menyumbang bakti kepada rakyat Palestin.
Katanya, rakyat Palestin berterima kasih terhadap sumbangan yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia selama ini, malah menyatakan rakyat Malaysia begitu dekat dengan mereka.
Sementara itu menurutnya, seramai 11 imam Palestin akan dibawa ke negara ini bagi mengimamkan solat tarawih secara percuma bermula 1 Ramadan sehingga 24 Ramadan.
“Kumpulan imam Palestin itu akan turut menyampaikan tazkirah dan menjelaskan situasi yang terpaksa dihadapi oleh rakyat negara itu berikutan kezaliman Israel,” ujarnya.











