SEREMBAN 27 Mei – Salah seorang pelajar yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas di Jalan Kuala Klawang – Seremban dekat Bukit Tangga di sini pada 23 Mei lalu berisiko lumpuh separuh badan akibat kecederaan parah pada bahagian tulang belakang.
Pelajar jurusan Teknologi Elektrik Kolej Vokasional Kuala Klawang itu, Iman Danial Abdullah, 17, kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.
Difahamkan, pelajar tersebut yang merupakan anak yatim piatu dijaga oleh keluarga angkatnya di Presint 9, Putrajaya sebelum ditawarkan menyambung pelajaran di kolej berkenaan.
Pensyarah Kolej Vokasional Kuala Klawang, Muhammad Luqman Zainal Rashid berkata, beliau dimaklumkan Iman Danial memerlukan wang sebanyak RM7,000 bagi menampung kos pembedahannya.
“Dia mengalami kecederaan tulang belakang yang serius dan berisiko lumpuh dari paras pingang ke bawah. Kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM7,000 tidak termasuk kos rawatan susulan.
“Berikutan itu sebahagian pensyarah dan badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Generasi Prihatin (GEN-P) mengambil inisiatif mengumpul dana untuk membantunya bermula semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu, seorang pelajar lelaki Kolej Vokasional Kuala Klawang, Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, maut, manakala berpuluh lagi pelajar kolej itu dan pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kuala Klawang cedera.
Kejadian berlaku selepas bas henti-henti yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail lalu terbalik dekat Bukit Tangga.
Sementara itu, Pengerusi GEN-P, Mohd. Faizal Zainuddin berkata, pihaknya mula menerima sumbangan daripada orang ramai pada pukul 6.30 petang semalam dan lebih RM10,000 telah berjaya dikumpul setakat pagi ini.
Menurut beliau, wang sumbangan itu dijangka diserahkan kepada penjaga Iman Danial di HTJ hari ini. – UTUSAN ONLINE











