NEW DELHI 13 Mei – Malaysia menghadiri mesyuarat peringkat menteri bagi negara membangun Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di sini bagi membincangkan cabaran baharu perubahan dalam sistem perdagangan dunia.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali dan wakil Tetap Malaysia ke WTO di Ganeva Dr Rashidi Said, mewakili negara pada mesyuarat dua hari yang bermula pada Isnin.
Mesyuarat itu bertujuan menghimpunkan negara membangun dan negara kurang membangun (LDC) pada platform perkongsian bersama dan menggerakkan pembaharuan dalam WTO.
Setiausaha Perdagangan India Anup Wadhawan berkata cabaran dalam peraturan sistem dagangan pelbagai hala dimanifestasikan dalam langkah unilateral dan tindak balas, selain kebuntuan dalam rundingan bagi bidang utama dan dalam mekanisme penyelesaian pertikaian WTO.
“Asas sistem itu sedang diuji menerusi pelbagai jenis perlindungan di seluruh dunia.
“Inisiatif pembaharuan mesti menggalakkan keterangkuman dan bukan diskriminasi, meningkatkan kepercayaan dan menangani ketidaksamarataan dan sifat tidak simetri dalam perjanjian sedia ada,” kata Menteri Perdagangan India dalam kenyataan.
Pertanian merupakan keutamaan bagi sebahagian besar anggota WTO yang mewakili negara membangun.
Enam negara kurang membangun dan 16 negara membangun, termasuk Argentina, Bangladesh, Brazil, China, Mesir, Indonesia, Nigeria, dan Afrika Selatan menghadiri mesyuarat berkenaan. – BERNAMA











