KUALA LUMPUR 2 Mei – Malaysia sah kehilangan 70 medal emas, iaitu separuh daripada pungutan ketika muncul juara Sukan SEA 2017 gara-gara beberapa sukan yang menjadi lubuk emas negara tidak dipertandingkan dalam temasya dwi tahunan itu di Filipina kali ini.
Ketua Kontinjen Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, situasi tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan persiapan kontinjen negara untuk mengharungi temasya itu, yang akan membuka tirai pada 30 November ini.
“Malaysia hanya menyertai 51 acara dari 56 sukan. Kita akan menyertai 473 acara yang dipertandingkan, tetapi yang pastinya kita telah pun kehilangan 70 pingat emas. satu jumlah yang cukup besar.
“Walaupun perkara ini berlaku, ia tidak bermaksud kita tidak boleh mendapat emas dalam acara lain.
“Sasaran masih terlalu awal untuk kita maklumkan kerana kontinjen negara sedang menjalani latihan fasa dua di bahawa kendalian MSN (Majlis Sukan Negara),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Sukan SEA 2019 pertama di sini hari ini.
Antara enam sukan lubuk emas Malaysia yang tidak dipertandingkan pada edisi kali ini adalah berbasikal trek yang menyumbang 11 emas, terjun (12), gimnastik (13), pencak silat (10), boling padang (7) serta boling (7).
Pada edisi lalu, Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan selepas memungut 144 emas, 91 perak dan 86 gangsa.
Filipina pada Sukan SEA kali ini sebaliknya menggunakan kelebihan selaku tuan rumah untuk menyenaraikan acara kegemaran mereka seperti gusti, kurash, arnis serta sukan tarian.- UTUSAN ONLINE











