KUALA LUMPUR 23 Mei – Malaysia berjaya mengelak daripada menentang lawan paling digeruni, China, namun masih perlu berdepan cabaran getir Jepun dalam suku akhir Piala Sudirman.
Biarpun Jepun turun sebagai pilihan utama, namun negara matahari terbit itu yang tidak pernah menjuarai kejohanan badminton berpasukan campuran tersebut dilihat tidak seampuh tuan rumah, China.
Jepun mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan A selepas berhempas pulas untuk menumpaskan Rusia 3-2 sebelum mengalahkan Thailand 4-1.
Malaysia tampil sebagai naib juara Kumpulan D selepas dibelasah 0-5 oleh China dalam aksi pembukaan, sebelum bangkit menumpaskan juara Sukan Komanwel, India 3-2.
Kedua-dua pasukan bakal berentap di Pusat Sukan Guangxi esok.
China yang menjadi pilihan untuk merangkul Piala Sudirman buat kali ke-11 pula diundi menentang gergasi Eropah, Denmark dalam suku akhir hari ini.
Juara bertahan, Korea Selatan yang mara selaku juara Kumpulan C, menerima tentangan pasukan sedang meningkat, Thailand manakala juara 1989, Indonesia bertemu Taiwan. – UTUSAN ONLINE
SUKU AKHIR
———–
HARI INI
China lwn Denmark
Korea Selatan lwn Thailand
*semua perlawanan bermula 6 petang
ESOK
Taiwan lwn Indonesia
MALAYSIA lwn Jepun
*semua perlawanan bermula 11 pagi











