Lombok kini hab baharu AirAsia - Utusan Malaysia

Lombok kini hab baharu AirAsia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOMBOK 2 Mei – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia) hari ini melancarkan hab baharu mereka di Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia yang juga merupakan hab kelima di negara republik tersebut.

Hab baharu selepas Jakarta, Surabaya, Medan dan Bali itu merupakan salah satu usaha AirAsia menyokong pembangunan dan mempromosikan pelancongan Lombok sebagai salah satu daripada ’10 Bali Baharu’.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan berkata, pihaknya berbesar hati dapat melancarkan hab baharu di Lombok yang disifatkan sebagai destinasi kaya dengan tarikan pelancong dan destinasi yang dekat dengan hati orang ramai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini sejarah yang baharu, bukan sahaja kepada AirAsia tetapi juga kepada Nusa Tenggara Barat dan Lombok. Pemilihan Lombok ini tidak sembarangan dan ia melihat kepada potensi yang luar biasa daerah Lombok terutama dalam pelancongan.

“Pengumuman hari ini bukan sahaja memperkukuh jaringan hubungan domestik dan antarabangsa, tetapi juga menghasilkan peluang pekerjaan tempatan, merangsang penumbuhan sektor pelancongan dan menyumbang terhadap kepentingan ekonomi pengunjung untuk Lombok,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis perasmian hab AirAsia terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Gabenor Nusa Tenggara Barat, Zulkieflimansyah dan Pegawai Khas Menteri Pelancongan Indonesia, Judi Rifajantoro.

Menerusi hab baharu tersebut, pesawat Airbus A320 AirAsia akan beroperasi bagi laluan Lombok ke Perth, Australia bermula 9 Jun nanti selain menghubungkan juga destinasi domestik seperti Jakarta, Yogyakarta dan Bali.

Sementara itu, tambah Dendy sempena pembukaan hab baharu tersebut, AirAsia turut memperkenalkan rekaan luar pesawat khas yang didedikasikan bagi menyokong promosi pelancongan Lombok.

“Rekaan luaran tersebut memaparkan ikon pelancongan ternama tempatan Lombok seperti Gunung Rinjani dan keindahan dasar lautan di kepulauan Gili yang terletak di tenggara Lombok.

“AirAsia juga akan melancarkan beberapa inisiatif tambahan dari usaha berterusan Yayasan AirAsia yang bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk membangun pusat pelindungan sementara dan kawasan perumahan di Lombok selepas gempa bumi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini