LONDON 13 Mei – Isteri pemilik kelab Liverpool, Linda Pizzuti memuji kejayaan pasukan The Reds menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan kedua selepas pasukan itu dinafikan kejuaraan dengan perbezaan satu mata oleh Manchester City.
Linda yang mengahwini John W Henry yang juga merupakan bilionaire kaya-raya Amerika Syarikat itu pada 2009, mahu pasukan itu menumpukan final Liga Juara-Juara (UCL) di Madrid, bulan depan berdepan Tottenham Hotspur.
“97 mata. Hanya satu kekalahan dalam Liga Perdana. Musim yang sukar dipercayai bersama pasukan begitu istimewa.
“Sangat gembira menamatkan saingan liga dengan kemenangan. Tahniah Manchester City menjulang gelaran itu dengan mengumpul 98 mata.
“Ia perlumbaan merebut kejuaraan liga yang sangat menakjubkan sehingga perlu ditentukan sehingga perlawanan terakhir musim ini. Jumpa anda di Madrid,” tulisnya di akaun Twitter peribaidnya @Linda_Pizzuti.
Liverpool masih berpeluang merangkul satu piala musim ini sekiranya berjaya menundukkan Spurs di pentas final Liga Juara-Juara, 2 Jun nanti sejak kali terakhir muncul juara pada 2005. – UTUSAN ONLINE











