Lesen PSV: Pemandu Grab perlu akur - Utusan Malaysia

Lesen PSV: Pemandu Grab perlu akur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mei – Golongan pemandu e-hailing perlu akur dengan keputusan kerajaan dan berusaha untuk mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), bukan mengambil tindakan menyalahkan mana-mana pihak.

KAMARUDIN MOHD. HUSSAIN

Yang Dipertua, Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, berbanding proses lebih sukar dan kadar bayaran lebih tinggi yang perlu dilalui pemandu-pemandu teksi, kerajaan telah memberikan banyak kelonggaran kepada pemandu e-hailing untuk mendapatkan lesen PSV.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya kerajaan telah memberi mereka banyak kelonggaran untuk mendapatkan lesen PSV, dahulu kami terpaksa menjalani proses yang sangat berat dengan kadar bayaran yang lebih tinggi berbanding mereka.

“Kami juga diwajibkan menjalani latihan dan ujian praKtikal, tetapi mereka kini lebih mudah, bayaran tidak lebih RM200, dan tidak perlu menjalani latihan dan ujian pratikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden Pertubuhan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali menggesa kerajaan memanjangkan tempoh untuk mendapatkan lesen PSV kerana tempoh yang ditetapkan kerajaan ketika ini iaitu dari April hingga Julai adalah sangat singkat ditambah dengan proses permohonan yang rumit.

Dalam pada itu, tambah Kamarudin, tindakan Arif Asyraf mengadakan bantahan kepada kerajaan atau menyalahkan pihak-pihak berkaitan di atas kegagalan pemandu-pemandu e-hailing mendapatkan lesen PSV adalah satu tindakan kurang bijak.

“Dia seharusnya memainkan peranan penting menasihati semua pemandu-pemandu kereta sapu, khususnya ahli-ahli persatuannya supaya akur dengan keputusan kerajaan dan berusaha untuk mendapatkan lesen PSV.

“Nasihat saya kepadanya, sudah-sudahlah dengan memberi alasan dan cuba menunda tarikh pelaksanaan peraturan e-hailing pada 12 Julai 2019. Jika ingin terus kekal di dalam industri kami, sila ikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, Gabungan Teksi Malaysia akan menuntut kepada kerajaan agar menetapkan beberapa lagi peraturan yang serupa dengan pihak mereka kepada pemandu-pemandu e-hailing.

“Seperti mewajibkan semua kenderaan-kenderaan e-hailing menjalani pemeriksaan awalan dan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tanpa pengecualian kepada kenderaan-kenderaan berusia tiga tahun dan ke bawah, penggunaan nombor pendaftaran berwarna kuning atau hijau dan etika pakaian,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini