PORT DICKSON – Satu mayat lelaki berusia 72 tahun ditemui di sebuah rumah di Kampung Jimah Lama, Rantau dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mayat lelaki tersebut, Ismail Ariffin ditemui oleh orang awam.
“Kami terima laporan pada pukul 6.50 petang semalam. Pihak polis telah ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.
“Siasatan mendapati lelaki itu tinggal seorang diri dan dipercayai telah meninggal dunia hampir dua minggu ekoran mayat yang telah kembung dan berulat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Aidi berkata, siasatan yang dijalankan juga mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Port Dickson bagi menjalani bedah siasat pagi ini.
Jelasnya, siasatan masih diteruskan dan kes itu buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diketahui.
“Kami berharap waris lelaki berkenaan dapat tampil bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya. – K! ONLINE











