Lelaki tidak mengaku salah ugut Mufti Perlis - Utusan Malaysia

Lelaki tidak mengaku salah ugut Mufti Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Perbuatan seorang lelaki mengugut untuk mencederakan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin baru-baru ini mengundang padah apabila suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Y. Kumaresan, 36, dari Pulau Pinang bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Norhayati Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd. Asri dengan niat untuk menyebabkan cedera parah dengan cara ‘akan punch mulut you sampai masuk wad’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Bilal Udoh, Mukim Chuping dalam daerah Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 6 petang, 1 Mei lalu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang bekerja sebagai kerani diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain memberikan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu pengadu.

Tertuduh setakat ini belum membayar jaminan tersebut. Kes akan disebut semula pada 17 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farhan Aliff Ahmad sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Ahmad. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini