KUALA LUMPUR 12 Mei – Seorang lelaki mengalami masalah pernafasan selepas terhidu gas ammonia yang bocor di sebuah kilang ais di Jalan Reko, Kampung Sungai Tangkas, Kajang dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun menyebabkan mata mangsa kemerahan sebelum dia dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, Rosman Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.55 petang.
Ujarnya, susulan itu, sebanyak sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba tiba di lokasi 15 minit kemudian dan mendapati paip ammonia bocor di kawasan proses utama.
“Hasil pemantau mendapati, bau tersebut boleh dihidu 20 meter dari lokasi yang mana kawasan sekitar tidak berangin dan terdapat kediaman orang awam kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Rosman, bagi mengawal gas tersebut daripada merebak, pihaknya telah menutup suis operasi dan injap paip terbabit selepas mengesan kebocoran.
“Pihak bomba turut mendapat bantuan daripada polis dalam operasi berkenaan.
“Bgaimanapun, bau gas tersebut tidak lagi dikesan pada jarak 10 meter kira-kira 30 minit kemudian,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











