Lauk ala kadar juadah sahur, berbuka - Utusan Malaysia

Lauk ala kadar juadah sahur, berbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING – Disaat kedatangan Ramadan sudah pastinya menjanjikan memori manis buat seluruh umat Islam di negara ini menyambut bulan mulia dengan penuh gembira.

Namun disebalik suasana ceria dan gembira itu terselit coretan pahit yang terpaksa ditelan seorang warga emas, Manis Awang Sulaiman, 70, yang hanya mampu berteduh di sebuah rumah usang di Kampung Sungai Padang, Endau di sini.

Rumah papan yang serba daif didiami Manis bersama dua anaknya berusia 50-an serta seorang cucu perempuan berumur 32 tahun dibina atas tanah tol sejak 20 tahun yang lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, juadah bersahur dan berbuka setiap kali Ramadan hanya sekadar telur, ikan atau ayam goreng tidak semewah sajian orang lain yang menjalani ibadah puasa.

Tinjauan Kosmo! bersama beberapa ahli badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini ke rumah Manis mendapati kediaman yang diduduki empat beranak itu tidak terurus selain sudah uzur.

Keadaan rumah usang itu bersepah dengan pakaian tidak berlipat dan kotor selain tempat memasak juga di ruang tamu malah lebih menyedihkan pakaian yang koyak hanya diikat dengan gelang getah.

Menurut Manis yang membahasakan dirinya nenek, kisah duka kehidupannya itu bermula sejak dia kematian suaminya kira-kira 20 tahun lalu ditambah pula dengan kesihatannya semakin merosot.

“Nenek tinggal bersama dua orang anak iaitu seorang anak lelaki yang menghidap penyakit saraf sejak lima tahun lalu, seorang anak perempuan dan seorang cucu perempuan.

“Kami makan mana yang ada, kadang-kadang makan nasi dengan telur, kalau ada rezeki lebih anak atau cucu bawa pulang ayam dan ikan, nenek masak ala kadar,” katanya.

Manis yang sudah uzur dan bongkok itu tidak pernah merungut dengan ujian yang menimpa mereka sekeluarga malah bersyukur dengan pemberian nikmat dan rezeki tersebut.

Menurutnya, kehidupan sehariannya bergantung kepada anak dan cucu perempuannya yang bekerja dikilang berdekatan dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, pendapatan itu ada kalanya tidak mencukupi untuk menampung keperluan kehidupan mereka sekeluarga termasuk bil utiliti selain kos rawatan kesihatan anaknya yang sakit mental sejak 20 tahun lalu yang perlu menjalani rawatan susulan.

Sementara itu, Pengerusi Mersing Cakna, Roslan Nikmat berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit.

Jelasnya, beberapa bantuan telah disusun bersama NGO yang lain termasuk Pasaraya Econsave tampil memberi sumbangan berupa barangan keperluan harian.

“Kepada mereka yang sudi menyalurkan bantuan boleh menghubungi saya di talian 019-9587978,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini