LONDON 26 Mei – Menjelang pertemuan Liverpool menentang Tottenham dalam saingan akhir Liga Juara-Juara pada minggu depan di Madrid menyaksikan satu peraturan baharu diwujudkan oleh kedua-dua pasukan iaitu melarang kesemua pemain menggunakan telefon bagi menggelakkan fokus mereka terganggu.
Hubungan baik antara pemain dua kelab Liga Perdana Inggeris itu menyebabkan mereka saling berhubung bagi mengucapkan tahniah antara satu sama lain selepas berjaya mara ke saingan akhir Liga Juara-Juara.
Hubungan sesama mereka dalam final itu agak akrab kerana sembilan daripada pemain berkenaan kini berada dalam skuad pilihan Gareth Southgate untuk mewakili England dalam Piala Kebangsaan yang akan beraksi seminggu selepas tamat final kejohanan Eropah berkenaan.
Bagaimanapun semua itu kini dilarang apabila mereka terpaksa berhenti berhubungan sesama sendiri sehingga tamat aksi penuh final berkenaan 2 Jun nanti.
Kapten Liverpool, Jordan Henderson mengakui mereka saling mengucapkan tahniah sesama sendiri sejurus kedua-dua pasukan diwakili mara ke final selepas menyingkirkan Barcelona manakala Spurs menumbangkan Ajax.
“Saya ada menerima beberapa ucapan tahniah daripada mereka selepas aksi menentang Barcelona dan saya membalas mesej tersebut selepas mereka berjaya mengalahkan Ajax.
“Saya pasti akan berbual dengan mereka sekali lagi selepas tamat perlawanan itu tetapi sebelum aksi final, kami terpaksa menjauhkan diri buat sementara bagi mengekalkan fokus,” kata Henderson.
Sembilan pemain kebangsaan England itu ialah Dele Alli, Eric Dier, Harry Kane, Danny Rose, Kieran Trippier dan Harry Winks, Trent Alexander-Arnold, Joe Gomez dan Henderson. – AGENSI











