KUALA LUMPUR 14 Mei – Laporan siasatan 16 projek pertukaran tanah (land swap) Kementerian Pertahanan yang dikatakan berlaku kerugian atau ketirisan hasil kerajaan ketika pentadbiran terdahulu, telah mula disiarkan secara berperingkat menerusi portal rasmi kementerian berkenaan.
Menurut kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini, laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai land swap itu mula disiarkan semalam sehingga Jumaat ini.
Penyiaran semalam melibatkan tiga projek iaitu Kem Hutan Melintang, Kem Batu Kentonmen dan Kem Paloh/Kinrara.
Hari ini, tiga laporan yang disiarkan melibatkan Kem Sungai Buloh, Kem Sungai Besi dan Kem Batu Pahat.
Esok, tiga laporan yang akan didedahkan ialah Kem Transit Kem Wataniah 502 AW, Kem Terendak Kem Sungai Putat, Melaka dan Laporan PUSPAHANAS.
Tiga laporan yang akan didedahkan pada Khamis ialah Kem Brinchang, Kompleks 7 Briged Skudai dan Kompleks Markas 2 Divisyen Bayan Lepas, manakala pada Jumaat baki empat laporan yang akan didedahkan ialah Kompleks Markas Divisyen 1 Muara Tuang, Depot Peluru 71 Batalion Ordnan Divisyen, Pembangunan Fasiliti Kem Muara Tuang dan Penrissen dan Laporan Fasiliti Skuadron 323.
Jelas Kementerian Pertahanan dalam kenyataan itu, kementerian mengambil serius berhubung penemuan, teguran dan syor yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa siasatan tersebut.
“Untuk makluman, kementerian juga telah membuat dua laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya melakukan siasatan terperinci seterusnya mengambil tindakan lanjut,” menurut kementerian itu.
Kementerian juga menganggap laporan jawatankuasa siasatan tersebut memberi kesan besar kepada Kementerian Pertahanan khususnya kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan projek land swap agar sentiasa berhati-hati dan tidak terlibat dalam sebarang penyalahgunaan kuasa serta rasuah sehingga menyebabkan kegagalan projek sekali gus merugikan kerajaan.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam sidang akhbar mendakwa pelaksanaan 13 daripada 16 projek land swap terbabit didapati melibatkan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan.
Hasil laporan JKSTUPKK yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang itu turut mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan daripada projek tersebut melebihi RM500 juta.
Kesemua 16 projek itu terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan yang telah dan akan dipindah milik.
Mohamad bagaimanapun menafikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terlibat dalam penyelewengan tersebut walaupun mengakui kaedah land swap itu dimulakan sejak tahun 1997 ketika Dr. Mahathir pertama kali menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE
Jadual penyiaran laporan siasatan JKSTUPKK berkenaan land swap
13 Mei 2019
1. Laporan Kem Hutan Melintang.
2. Laporan Kem Batu Kentonmen.
3. Laporan Kem Paloh / Kinrara.
14 Mei 2019
4. Laporan Kem Sungai Buloh.
5. Laporan Kem Sungai Besi.
6. Laporan Kem Batu Pahat.
15 Mei 2019
7. Laporan Kem Transit Kem Wataniah 502 AW.
8. Laporan Kem Terendak Kem Sg. Putat Melaka.
9. Laporan PUSPAHANAS.
16 Mei 2019
10. Laporan Kem Brinchang.
11. Laporan Kompleks 7 Briged Skudai.
12. Laporan Kompleks Markas 2 Divisyen Bayan Lepas.
17 Mei 2019
13. Laporan Kompleks Markas Divisyen 1 Muara Tuang.
14. Laporan Depot Peluru 71 Batalion Ordnan Divisyen.
15. Laporan Pembangunan Fasiliti Kem Muara Tuang dan Penrissen.
16. Laporan Fasiliti Skuadron 323.











