PARIS – Lampu diod pancaran cahaya (LED) boleh menyebabkan kerosakan kekal pada retina mata dan mengganggu rentak tidur semula jadi manusia, dedah agensi pemerhati kesihatan kerajaan Perancis baru-baru ini.
Agensi Makanan, Persekitaran, Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Perancis (ANSES) dalam satu laporan setebal 400 muka surat memberi amaran bahawa cahaya LED yang terang boleh menyebabkan kerosakan kekal sel retina, punca utama seseorang menjadi buta.
ANSES menggesa pihak berkuasa menyemak semula had maksimum pendedahan kepada cahaya LED yang memancarkan cahaya biru pada tahap tinggi. LED telefon bimbit, tablet dan skrin komputer riba kurang berisiko merosakkan mata namun mentol yang digunakan pada lampu kereta membawa risiko tinggi.
“Walaupun kurang berbahaya, pendedahan jangka panjang boleh mempercepatkan penuaan tisu retina dan menyumbang kepada penglihatan kabur,” kata agensi itu.
LED biasanya digunakan di rumah atau lampu jalan, pejabat dan industri. Peningkatan penggunaan lampu LED kini menjadi trend untuk kenderaan, lampu suluh dan sesetengah barang permainan. – Agensi











