ADELAIDE – Seorang pemburu ular Australia tergamam selepas menjumpai sekurang-kurangnya lapan bangkai cicak besar termasuk ular kecil dalam sarang labah-labah jenis redback di rumahnya di sini baru-baru ini.
Ange Broadstock memuat naik gambar penemuan itu di laman sosial dan mengakui dia belum pernah melihat tingkah laku sebegitu daripada seekor labah-labah redback.
Labah-labah berbisa itu lebih tertarik untuk membina sarang pada struktur binaan manusia termasuk rumah berbanding di kawasan semula jadi terbuka. Labah-labah redback boleh ditemui di Australia, New Zealand, Jepun dan Britain.
Seorang pengguna media sosial berkongsi pengalaman memelihara labah-labah redback dan menegaskan bahawa ia memiliki sifat haiwan pemburu.
“Saya ada menyimpan lima ekor labah-labah redback betina dan mereka memang pembunuh sejati. Apabila diberi peluang, mereka akan membunuh apa sahaja,” katanya. – Agensi










