ROME 16 Mei – Pemain Australia, Nick Kyrgios dibatalkan penyertaannya pada kejohanan tenis Terbuka Itali, selepas dia melangkah keluar gelanggang sewaktu pusingan kedua menentang wakil Norway, Casper Ruud, hari ini.
Pemain yang sering mencetuskan kontroversi itu dan menjadi tajuk berita utama kerana mengkritik pemain lain termasuk Novak Djokovic dan Rafael Nadal dalam temubual bersama media, semalam, mula mempertikaikan keputusan pengadil sewaktu set ketiga.
Kyrgios berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dalam set ketiga, tetapi dia dikena penalti satu game kerana mengeluarkan kata-kata kesat.
Pemain itu kemudian bertindak balas dengan menyepak botol air dan melemparkan kerusi sebelum mengemas begnya lalu meninggalkan gelanggang sambil menjerit dengan kata-kata makian.
Ruud melakar kemenangan 6-3, 6-7 (5/7), 2-1 untuk layak ke pusingan ketiga. – AFP











