Kopsya tawar pembiayaan RM30,000 sempena Ramadan - Utusan Malaysia

Kopsya tawar pembiayaan RM30,000 sempena Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Mei – Setiap koperasi yang berdaftar di bawah Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) layak untuk memohon pembiayaan kewangan maksimum sebanyak RM30,000 bagi menjalankan pelbagai jenis perniagaan sempena Ramadan tahun ini.

Menurut Pengerusi Kopsya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, pembiayaan kewangan di bawah program Mesra Ramadan itu merupakan inisiatif beliau sendiri yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk membantu 1,400 koperasi yang berdaftar khususnya koperasi wanita dan ibu tunggal.

“Di bawah program Mesra Ramadan ini, Kopsya memperuntukan pembiayaan sebanyak RM3 juta kepada 100 koperasi wanita dan ibu tunggal yang ingin menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan seperti membuat kuih raya, menjahit atau berniaga di bazar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tujuan utama kita menawarkan pembiayaan ini kerana ingin membantu ahli-ahli koperasi selepas menyedari ramai yang ingin mencari pendapatan tambahan dan sampingan untuk menyambut Aidilfitri kelak,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Angkasa, di sini hari ini.

Jelas beliau, koperasi yang berminat boleh memohon di pejabat koperasi negeri dan tempoh kepada koperasi yang memohon membuat bayaran balik pembiayaan kewangan tersebut antara enam hingga 12 bulan.

Terdahulu, Abdul Fattah telah dipilih semula menjadi Pengerusi Kopsya bagi tempoh tiga tahun iaitu penggal 2019 hingga 2021 dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ketujuh Kopsya 2018 yang dihadiri oleh 731 perwakilan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Kopsya telah merangka dua strategi utama tahun ini bagi meningkatkan perolehan pendapatan dan keuntungan bersih iaitu menggalakkan pelaburan dalam kalangan ahli-ahli koperasi.

“Seterusnya kita akan mengadakan kempen dengan mempelawa mana-mana koperasi lain yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menjadi ahli Kopsya,” katanya.

Abdul Fattah berkata, meskipun keuntungan bersih mencatatkan sedikit penurunan namun perolehan pendapatan Kopsya telah meningkat sebanyak RM22.34 juta tahun lalu berbanding RM21.3 juta tahun sebelumnya.

“Selain ekonomi yang agak mencabar tahun lalu, keuntungan bersih agak terjejas akibat peratusan pendapatan yang kurang dan kos dana yang meningkat sehingga RM300,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini