Kontraktor pemotongan bekalan air diancam pisau - Utusan Malaysia

Kontraktor pemotongan bekalan air diancam pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang kontraktor Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) diancam dengan sebilah pisau pemotong daging sewaktu mahu melaksanakan kerja-kerja pemotongan bekalan air di sebuah restoran di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, kontraktor berkenaan diancam oleh seorang lelaki dipercayai pemilik restoran tersebut yang berang bekalan air ke premisnya mahu dipotong oleh pihak Sains. 

Ketua Bahagian Perhubungan Sains, Norzita Ismail berkata, kontraktor pemotongan bekalan air Sains itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu tindakan pemotongan (bekalan air) daripada pihak Sains itu merupakan kes sahih yang mana pengguna (pemilik restoran) mempunyai tunggakan bil air lebih RM2,000.

“Pengguna juga sedia maklum berkenaan bil yang tertunggak dan pernah diberikan peluang bayaran secara ansurans oleh pihak Sains,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Norzita berkata, penyata akaun bil air restoran itu juga menunjukkan bayaran kepada Sains dibuat secara tidak konsisten oleh pemiliknya menyebabkan bil air premis berkenaan tertunggak.

Menurut beliau, setiap bil air Sains yang dihantar kepada pengguna dinyatakan jumlah bil semasa dan bil tertunggak untuk dijelaskan dengan segera oleh pemilik premis.

“Sains juga memberi makluman kepada pengguna melalui bil yang dihantar berkenaan tempoh bayaran yang perlu dijelaskan agar tidak berlaku pemotongan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd. Rosli Ishak ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan polis menerima laporan kejadian tersebut, namun enggan mengulas lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini