LONDON 9 Mei – Ketua jurulatih Eintracht Frankfurt, Adi Hutter memberitahu dia menerima sokongan daripada Jurgen Klopp menjelang aksi timbal balik separuh akhir Liga Europa menentang Chelsea.
Hutter berkata dia menerima mesej daripada bos The Reds, Klopp yang menggesa Eintracht untuk lebih berkeyakinan menghadapi Chelsea selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam pertemuan pertama.
“Dia mengucapkan segala-galanya untuk Eintracht Frankfurt dan saya mengucapkan tahniah kepada dia kerana mara ke final. Saya menonton perlawanan itu dan sungguh menakjubkan.
“Jika anda percayakan sesuatu ia akan hadir bersama pasukan. Pasukannya cukup memukau, mereka menunjukkan semangat dan keberanian.
“Pasukannya bermain seperti diri mereka sepanjang tahun dan saya berharap perkara yang sama dilakukan oleh pemain saya. Semuanya tidak mustahil. Chelsea pasukan pilihan namun apabila sudah sampai ke tahap ini anda pasti mahu ke final,” katanya.
Skuad kendalian Klopp mempamerkan kebangkitan menakjubkan sebelum mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas Barcelona dalam aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, semalam.
Frankfurt berada di tahap terbaik untuk menghadapi The Blues memandangkan meraka masih segar dengan kemenangan 6-1 ke atas Bayer Leverkusen dalam aksi Bundesliga, minggu lalu. – AGENSI











