Kilang plastik musnah dijilat api - Utusan Malaysia

Kilang plastik musnah dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang penghasilan barangan plastik musnah dalam satu kebakaran di Jalan Perusahaan Kiri, Setapak di sini, semalam. 

Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Muhamad Ridhwan Kamarulzaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.34 petang sebelum bergegas ke lokasi. 

“Seramai 80 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Hang Tuah, BBP Sentul, BBP Keramat, BBP Cheras dan BBP Wangsa Maju beserta lapan buah jentera telah dikejarkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian, anggota bertugas mendapati sebuah kilang plastik sedang dijilat api yang marak dan kebakaran telah merebak ke sebuah bengkel kenderaan yang berada di belakang kilang tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi. 

Menurut Muhamad Ridhwan, anggota bertugas seterusnya melakukan kerja-kerja pemadaman dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.32 malam. 

“Tindakan pantas anggota bertugas berjaya mengelakkan api daripada terus merebak ke bangunan bersebelahan namun sebuah bengkel kenderaan turut terjejas dalam kebakaran ini. 

“Bengkel berkenaan bagaimanapun hanya mengalami kerosakan kecil namun sekurang-kurangnya empat kereta pelbagai jenis yang sedang dibaiki di situ telah mengalami kerosakan akibat dijilat api,” jelas beliau. 

Tambah beliau, tiada sebarang laporan kecederaan atau kematian yang diterima susulan kebakaran itu dan anggota daripada unit forensik akan melakukan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan anggaran kerugian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini