Ketua panel dialog Mara Patani letak jawatan - Utusan Malaysia

Ketua panel dialog Mara Patani letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 18 Mei – Ketua panel dialog Majlis Syura Patani (Mara Patani) Shukri Hari yang terlibat dalam proses rundingan damai di Selatan Thailand mengumumkan peletakan jawatan.

Dalam satu surat kepada Pengerusi Mara Patani, Awang Jabat pada Rabu lalu, Shukri menyatakan hasrat untuk meletak jawatan namun beliau tidak menyatakan sebab peletakan itu.

Bernama difahamkan Shukri meletak jawatan atas faktor kesihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Shukri yang dilantik sebagai Ketua Panel Dialog sejak lima tahun lalu berterima kasih kepada Mara Patani kerana memberi amanah dan kepercayaan untuk berunding dengan kerajaan Thailand mencari penyelesaian di wilayah bergolak itu.

ABDUL RAHIM NOOR
ABDUL RAHIM NOOR 

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada Ogos lalu dilantik sebagai pemudah cara rundingan damai di selatan Thailand, antara kerajaan Thailand dan Mara Patani. Mara Patani adalah badan yang mewakili beberapa kumpulan selatan Thailand.

Peletakan jawatan Shukri yang akan berkuatkuasa pada 22 Mei nanti merupakan satu lagi cabaran dalam mencari keamanan di Selatan Thailand.

Pada Februari lalu, Panel Dialog Mara Patani mengumumkan untuk menggantung semua dialog dengan kerajaan Thailand sehingga selepas selesai pilihan raya umum Thailand pada Mac.

Shukri ketika itu berkata keputusan menggantung rundingan adalah berikutan kekecewaan kumpulan itu terhadap sikap ditunjukkan ketua panel rundingan damai Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat.

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan Thailand menggantikan Jeneral Udomchai bagi mencari penyelesaian terhadap konflik di Pattani yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Sejak pergolakan meletus pada 2004, konflik yang mencengkam empat wilayah di selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, meragut lebih 6,500 nyawa. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini