Ketua kampung kempunan jual 17 jenis mercun - Utusan Malaysia

Ketua kampung kempunan jual 17 jenis mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI ISKANDAR – Seorang ketua kampung kempunan untuk merasai hasil jualan 17 jenis mercun apabila dia ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di kuarters kerajaan di Kampung Gajah dekat sini kelmarin.

Dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 11.15 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah itu, suspek berusia 57 tahun ditahan hasil maklumat dan risikan polis. 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebanyak 17 jenis mercun termasuk 1,000 biji mercun bola dirampas dengan nilai anggaran rampasan sebanyak RM5,000. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua mercun termasuk bola, roket, papan dan lebah ini dirampas di sebuah rumah kosong di kuarters kerajaan berkenaan di mana suspek turut tinggal di kuarters tersebut. 

“Soal siasat mendapati suspek mengaku baru sahaja memperolehi bekalan mercun tersebut dari daerah berhampiran dan belum sempat menjualnya kepada orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di IPD Perak Tengah di sini sebentar tadi. 

Tambah Mohamad Zainal, polis turut merampas 74 karton rokok seludup daripada 10 jenis jenama di rumah sama yang dianggarkan bernilai RM2,000. 

“Suspek kini ditahan reman selama dua hari bermula semalam sehingga esok. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memilik serta menjual mercun tanpa permit dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan yang tidak mendapat kelulusan Kastam,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini