PUTRAJAYA 6 Mei – Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mengucapkan ribuan terima kasih dan menghargai jasa guru-guru yang telah mendidiknya sehingga berjaya menjadi seorang Ketua Hakim Negara.
Menurut beliau, jutaan penghargaan itu dirakamkan kepada guru-gurunya di sekolah lamanya terletak di Kelantan dan Negeri Sembilan termasuk para pensyarah Universiti Malaya (UM).
“Secara kebetulannya, saya tiada perkara atau pengalaman untuk dikongsi sebab saya tidak pandai dan sebaliknya tidak pula nakal.
“Cuma bersempena sambutan Hari Guru tidak lama lagi, saya ingin mengucapkan banyak terima kasih kepada guru-guru dan para pensyarah yang mengajar saya sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya, Tengku Maimun memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) pada tahun 1982.
Pada 1984, beliau menjadi pegawai undang-undang di Majlis Perbandaran Seremban selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan.
Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, Tengku Maimun turut memegang beberapa jawatan termasuk majistret, hakim Mahkamah Sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2005 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas. -UTUSAN ONLINE











