Kesalahan reka bentuk laman web - Utusan Malaysia

Kesalahan reka bentuk laman web

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cuba anda perhatikan betul-betul, berapa lama pengunjung berada dalam laman web anda secara purata sebelum keluar meninggalkannya untuk ke tempat lain? Sekiranya mereka cuma ‘hinggap’ seketika sahaja dan kemudiannya beredar, ini bermakna laman web anda terlalu bosan dan tidak relevan. Bukan itu sahaja, anda juga berkemungkinan turut rugi kerana para pengunjung tadi mungkin berminat untuk membeli produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.

Laman web boleh diibaratkan sebagai kedai anda. Ba­yangkan anda sering mengadakan pelbagai promosi hebat di hadapan kedai sendiri dan juga di tempat lain untuk mengga­lakkan orang ramai masuk ke kedai anda dan melihat dengan lebih lanjut semua jenis produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Siang dan malam, begitu hebat sekali kempen yang anda lakukan. Memandangkan anda begitu agresif sekali, maka ramai pengunjung yang datang dan masuk ke kedai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tetapi anda rasa pelik kera­na yang masuk ramai, tetapi yang membelinya begitu sedikit sekali. Persoalannya mengapa? Jawapannya mudah, kerana mereka tidak berada cukup lama dalam kedai anda yang boleh membuatkan mereka membeli, sekurang-kurangnya membuatkan mereka berminat untuk datang kembali dan seterusnya membeli ataupun bercerita pada kawan-kawan mereka tentang kedai anda.

Laman web anda juga mempunyai konsep yang hampir sama. Mereka datang tetapi keluar setelah beberapa saat berada di dalamnya. Apabila mereka keluar terlalu awal, adalah mustahil untuk membeli daripada anda.

Mungkin ini penyebab utama mengapa pelanggan beredar terlalu cepat.

Reka bentuk yang mengingatkan pengunjung kepada laman web kerajaan

Ini masalah yang paling besar. Apabila sampai sahaja di muka hadapan laman web anda, mereka terus berkata: “ini laman web kerajaan ke?” Cuba anda lihat laman web yang dimiliki oleh kebanyakan jenama terkenal dunia, lihat bagaimana mereka melakukan­nya. Kemudian bandingkan de­ngan laman web anda.

Terlalu banyak tulisan

Kini tidak ramai yang gemar membaca. Mereka lebih gemar kepada visual seperti video, gambar dan juga infografik. Mungkin tulisan anda yang berjela-jela panjangnya membuatkan orang berasa sesak nafas untuk berada lebih lama lagi dalam laman web, jadi mereka pun beredar.

Borang

Sekiranya tiada borang untuk bertanya atau berinteraksi secara langsung, mereka tidak teragak-agak untuk tidak bertanya. Dan apabila mereka tidak bertanya, anda akan rugi kerana mungkin mereka berminat dan bersedia untuk membeli. Jadi pastikan anda mempunyai borang dalam talian atau sekurang-kurangnya mempunyai pautan ke media sosial bagi membolehkan interaksi dilakukan di sana.

GUNA GAMBAR PERCUMA DALAM INTERNET

Gambar percuma yang diambil daripada internet dan Google.

Lagi satu kesalahan besar laman web ialah menggunakan gambar-gambar percuma yang diambil daripada internet dan Google. Para pengunjung laman web anda sudah masak dan pernah sama sekali melihat gambar-gambar yang sama di tempat lain terlebih dahulu.

Ini membosankan. Selain itu, kebanyakan gambar percuma berlatarbelakangkan individu dan suasana benua barat. Anda pula berada di Malaysia, jadi keadaan ini memberikan persepsi yang anda adalah satu jenama yang ‘murah’. Sebaiknya, guna gambar sendiri dan pastikan mempunyai resolusi tinggi.

Ini juga satu perkara yang amat sensitif. Apabila mereka melihat terlalu banyak kesalahan pada ejaan dan tatabahasa yang digunakan dalam penulisan anda di laman web, mereka terus sedar yang sebenarnya anda adalah sebuah jenama yang amatur dan kecil. Ini bakal mendatangkan risiko kepada mereka sekiranya membuat apa-apa urus niaga dengan anda.

Bahasa yang digunakan

Ini juga penting. Bahasa yang sepatutnya digunakan untuk laman web anda perlu selari de­ngan komuniti yang disasarkan. Kalau mereka terdiri daripada komuniti yang sering menggunakan bahasa kebangsaan, jadi anda perlu menulis dalam bahasa kebangsaan. Sekiranya mereka golongan yang berbahasa Inggeris ataupun sasaran pasaran anda berada di luar negara, anda perlu menulis dalam bahasa Inggeris. Ada pula jenama yang mempunyai komuniti yang majmuk, pelbagai latar belakang bahasa, jadi anda tidak dapat lari daripada menulis dalam dua bahasa iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini