Kes Siti Kharina: Reman suspek utama akan dilanjut - Utusan Malaysia

Kes Siti Kharina: Reman suspek utama akan dilanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Mei – Polis akan memohon lanjutan reman terhadap lelaki Nigeria yang merupakan suspek utama kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd. Kamarudin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, permohonan lanjutan reman itu akan dibuat di Mahkamah Sepang pada pukul 10.30 pagi selepas tempoh reman sebelum ini tamat esok.

“Reman terhadap dua lagi suspek iaitu wanita Nigeria dan lelaki Pakistan juga telah disambung selama tujuh hari bermula esok hingga 29 Mei ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan kes masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan Siti Kharina ditemukan dibunuh di unit kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala. Hasil siasatan mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih daripada empat hari di kondominium tersebut.

Siti Kharina dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu dengan dia kali terakhir menghubungi suami serta anaknya untuk memaklumkan kepulangannya bagi mengecat rumah sebagai persiapan menjelang Aidilfitri pada hari sama.

Berikutan penemuan mayat wanita itu, polis menahan tiga individu disyaki terlibat dengan kes itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini