SEPANG – Kes pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam melibatkan dua orang tertuduh warga Vietnam dan Indonesia, Doan Thi Huong, 30, dan Siti Aisyah, 26, disifatkan tamat dan tidak akan dibuka semula.
Perkara itu disahkan oleh Hisyam Teh Poh Teik iaitu salah seorang daripada peguam yang mewakili Thi Huong bagi kes berkenaan ketika ditanya jika ada kemungkinan kes itu dibuka semula.
“Jawapannya tidak. Tiada kemungkinan akan dibuka semula. Ini bermakna kes ini telah tamat,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas di Balai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Turut hadir ialah dua lagi peguam Thi Huong iaitu Datuk Naran Singh dan Salim Bashir.
Sementara itu, Hisyam berkata, dia bersama dua peguam terbabit akan mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Majlis Peguam Vietnam esok.
“Kami akan memberi taklimat mengenai kes ini dan mengadakan perbincangan akhir dengan mereka memandangkan kes ini telah tamat,” katanya.
Terdahulu, Thi Huong dibebaskan dari Penjara Kajang pada pukul 7.20 pagi tadi setelah tempoh penjaranya tamat hari ini.
Dia bersama tiga peguam itu dijadual berlepas ke negara asalnya Vietnam pada pukul 7.15 malam ini.
Thi Huong dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 April lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol menggunakan racun VX, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), dua tahun lepas.
Hakim Datuk Azmi Ariffin ketika menjatuhkan hukuman tersebut turut memerintahkan Thi Huong menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu 15 Februari 2017.
Sebelum ini, Thi Huong dan Siti Aisyah didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas KLIA2 pada 9 pagi, 13 Februari 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – K! ONLINE











