Kereta dinaiki keluarga terbakar - Utusan Malaysia

Kereta dinaiki keluarga terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 19 Mei – Satu keluarga dari Skudai, Johor Bahru terselamat apabila kereta BMW 5 Siri yang mereka naiki terbakar selepas terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 251.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) sebelum susur keluar Senawang dekat sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.45 malam membabitkan kereta itu dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang oleh seorang pemuda warga negara Myanmar, Mohd. Yunous Amir Hussein, 17.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) Mohd. Syazwan Saidy berkata, keluarga itu terdiri daripada pemandu kereta, P. Manimaran, 51, dan isterinya, R. Patchiamma, 50, bersama dua anak mereka, Kanageswaran, 21, Jeevana, 23, yang dalam perjalanan ke Rawang, Selangor untuk acara keagamaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kejadian berlaku apabila kira-kira 10 buah motosikal telah terbabas, bergesel dan jatuh di lorong kanan lebuh raya itu menyebabkan kereta BMW itu tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal LC135 itu.

“Pelanggaran itu mencetuskan kebakaran kedua-dua kenderaan berkenaan. Manimaran telah bertindak mengarahkan isteri dan anaknya keluar dengan selamat dan sempat mengeluarkan beberapa barangan.

“Pengguna lebuh raya telah cuba memadamkan kebakaran itu menggunakan dua tabung pemadam kebakaran kepunyaan lori tetapi tidak berjaya dan terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, dua buah jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 telah bergegas ke tempat kejadian dan tiba kira-kira pukul 11.08 malam.

Jelasnya, anggota bomba telah memadamkan kebakaran dan mencari mangsa yang menunggang motosikal sekitar lokasi kejadian tetapi gagal menemukannya.

“Dengan bantuan polis trafik, kami telah dimaklumkan mangsa berada di rumah abangnya dalam keadaan baik dan selamat,” ujarnya.

Tambahnya, kejadian itu telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira 10 kilometer kerana laluan dari arah selatan terpaksa ditutup sementara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini