Kebakaran: Pekerja kilang redah api marak selamatkan diri - Utusan Malaysia

Kebakaran: Pekerja kilang redah api marak selamatkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Tindakan pantas seorang pekerja kilang yang terus keluar daripada rumah sejurus tersedar daripada tidur telah berjaya menyelamatkannya daripada maut. 

Demikian diceritakan Mohd. Azman Shah Hassan, 20, yang menjalani detik cemas apabila rumah yang disewa bersama tujuh lagi rakannya di Kampung Sungai Sireh Tambahan, di sini terbakar kira-kira pukul 8 pagi ini.

Ketika kejadian katanya, dia hanya tinggal berdua dengan seorang lagi rakannya di dalam rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak tahu macam mana kebakaran itu berlaku, tetapi saya rasa mungkin dari bilik depan rumah kerana api marak di bahagian itu. Ketika kejadian, saya tidur di bilik belakang. 

“Semasa saya terkejut dari tidur, saya rasa panas dan ternampak asap banyak dalam rumah. Saya lihat api marak di bahagian depan rumah sebelum saya meluru keluar ke pintu utama…saya tidak fikirkan apa-apa walaupun pintu itu terbakar, saya hanya fikirkan keselamatan diri,” kata pekerja kilang itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Budianshah Burhanuddin, 37, memberitahu dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu menerusi isterinya, Dewi Hamidah Rahmat yang berada di dalam rumah bersama seorang anak lelakinya berusia tiga tahun. 

Bagaimanapun, dia yang juga buruh binaan itu bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku terhadap isteri dan anaknya semasa kejadian. 

“Habis barangan termasuk keperluan untuk hari raya musnah dalam kejadian itu. Sedih itu memanglah, tetapi saya syukur isteri dan anak saya selamat,” katanya. 

Terdahulu, kedua-dua mangsa menerima sumbangan kewangan daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang melawat lokasi kejadian bersama-sama Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan dan Kebajikan Sosial Briged Aman Malaysia (Briged Aman Malaysia), Azhari Yusof di sini hari ini. 

Selain menyampaikan salam takziah Perdana Menteri terhadap mangsa-mangsa yang terlibat, Abu Bakar turut meminta mereka bersabar dan menerima musibah yang berlaku sebagai ujian daripada Allah SWT. 

“Setiap musibah yang berlaku, bukan perkara yang kita boleh jangka. Namun sebagai masyarakat yang prihatin, adalah tanggungjawab kita untuk tampil membantu mereka memerlukan,” ujarnya. 

Mana-mana pihak termasuk pihak swasta serta korporat yang ingin menyumbang aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di bawah Briged Aman Malaysia boleh menghubungi Pengerusi Briged Aman Malaysia, Azhari Yusof di talian 0192277395 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun RHB Islamic Bank Berhad bernombor 26225000029628. – K! ONLINE

Abu Bakar Yahya (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran, Budianshah Burhanud
Abu Bakar (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran, Budianshah Burhanuddin (empat dari kiri) di Kampung Sungai Sireh Tambahan, Klang, petang ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini