Kasih ibu pemangkin kejayaan - Utusan Malaysia

Kasih ibu pemangkin kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU sebentar tadi, wanita kecil molek itu menelefon ibunya. Tidak sampai setengah jam, dia mendail semula nombor yang sama untuk bercakap kembali dengan ratu hatinya itu.

Perkara yang dibualkan lazimnya mengenai rutin harian atau perkara-perkara yang sebenarnya tidak begitu mustahak.

Namun, bagi wanita berkulit cerah itu, ia satu kemestian untuk menelefon ibunya pada setiap hari. Dia akan berasa janggal jika tidak bercakap dengan ibunya, Datin Aishah Mohd.Jelani, 64 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apabila bertemu dengan ibunya pula, beliau akan meluru mendapatkan ibunya lalu memeluk dan duduk di atas riba. Malah, ibunya juga yang akan memotong kuku beliau.

Tidak ubah seperti anak kecil, beliau yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu sentiasa menjadikan ibunya sebagai tempat bermanja.

Malah, ibunya memanggil dirinya ‘Yang’ yang bermaksud sayang.

Begitulah keakraban yang terjalin antara pengasas FashionValet dan The dUCk Group, Datin Vivy Sofinas Yusof atau mesra dipanggil Vivy dengan ibunya.

Walaupun telah menginjak usia 31 tahun, sifat dan sikap manja itu dibawa sehingga ke alam dewasa.

Menurut Vivy, beliau amat rapat dan manja dengan ibunya yang merupakan seorang bekas guru Matematik di Sekolah Menengah Bukit Merchu, Kuala Kangsar, Perak.

“Ibu berhenti kerja selepas melahirkan saya kerana ingin menjaga dan memberi tumpuan kepada keluarga. Sejak itu saya sering bersama ibu.

“Kami tidak pernah berpisah sehinggalah saya melanjutkan pelajaran ke London, Britain . Itupun saya akan menangis dan meraung setiap kali dia pulang selepas melawat saya,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat FashionValet, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

FashionValet yang diasaskan pada 2010 adalah sebuah syarikat berasaskan fesyen yang memasarkan lebih daripada 150 jenama tempatan di bawah satu bumbung manakala dUCk pula adalah rangkaian pelbagai barang wanita merangkumi tudung, alat solek dan alat tulis.

Butik FashionValet boleh didapati di pusat beli-belah Bangsar Village, Pavilion dan Publika di Kuala Lumpur dan IOI City Mall, Putrajaya

Butik dUCK pula terletak di Pavilion dan KLCC, Kuala Lumpur serta Haji Lane, Singapura.

Apa yang menjadikan anak jati Selangor itu seorang yang berjaya pada hari ini ialah cara beliau dibesarkan.

Kejayaan

Kejayaan Vivy dalam perniagaan tersebut telah membuatkannya memenangi banyak anugerah.

Ini termasuk Bella Business Award 2013, Ikon Wanita Puteri UMNO 2014, 40 Under 40 daripada Prestige Magazine 2015, Women’s Weekly Malaysia’s Finance and Commerce Nominee untuk anugerah Great Women of Time Awards 2015, 60 Wanita Inspirasi Nona, Young Entrepreneur Award daripada Tribute To Women Malaysia dan banyak lagi.

Beliau juga telah muncul di beberapa media antarabangsa termasuk Forbes, BBC, CNBC dan The New York Times.

Pada April 2017, Vivy disenaraikan sebagai salah satu daripada Forbes 30 Under 30 di Asia.

Walaupun sibuk menguruskan empayar FashionValet dan The dUCk Group, Vivy tetap mengingati dan meluangkan masa bersama ibu serta keluarga.

“Mujur saya tinggal berdekatan dengan kedua-dua ibu bapa. Kalau saya rindu ibu, boleh terus ke rumahnya. Kami tidak pernah ada masalah untuk pulang beraya kerana kedua-dua keluarga tinggal berdekatan,” tuturnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada London School of Economics (LSE), Britain.

Namun, disebabkan adakalanya terlalu sibuk, Vivy menetapkan setiap Selasa adalah hari untuk mereka berkumpul dan makan malam bersama.

Beliau akan mengajak kakak serta empat orang anak buahnya untuk bersama-sama menikmati makan malam.

Dalam pada itu, bagi meluangkan masa bersama anak-anak pula, Vivy dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar, 31, akan menghantar sendiri anak-anaknya ke sekolah.

“Setiap pagi saya dan suami akan menghantar mereka ke sekolah. Dalam perjalanan ke sekolah itulah kami akan berbual dan bertanya tentang perkembangan mereka.

Amalan

“Jika tidak bersekolah pula kami akan sarapan bersama-sama. Lazimnya, kami akan ke kedai mamak dan makan makanan kegemaran mereka seperti roti canai,” ujarnya.

Memiliki suara ceria dan tutur kata lemah lembut serta perwatakan serba riang, ibunya telah banyak mengajar Vivy menjadi contoh yang baik kepada tiga orang anaknya.

Mereka ialah Daniel Azim Shah, 6; Mariam Iman Shah, 4 dan Sarah Ilham Shah, 7 bulan.

Antara amalan yang diterapkan adalah menghargai satu sama lain dan menghormati orang tua.

“Apabila berjumpa dengan orang, saya akan suruh mereka bersalam. Dengan mengajar perkara-perkara asas ini saya berharap mereka dapat menjadi orang yang berguna pada masa depan kelak.

“Saya juga selalu menyuruh mereka solat berjemaah. Walaupun mereka masih kecil, saya mahu jadikan ia kebiasaan. Sama seperti apa yang ibu saya ajar,” terangnya.

Membesar dengan persekitaran harmoni dan penuh kasih sayang menjadikan Vivy seorang usahawan wanita yang berjaya.

Ditambah pula, setiap langkah dan pergerakannya mendapat keberkatan serta doa daripada ibunya, perkara itu menjadikan Vivy seorang yang kuat, tegas dan berjiwa besar.

Latar belakang Vivy memang mampu menjadi inspirasi kepada ramai orang di luar sana terutamanya bagi ibu-ibu sama ada yang berkerjaya atau tidak dalam mencapai impian kehidupan.

“Sejak kecil lagi saya sudah melihat diri saya berada dalam bidang perniagaan. Bermula di sekolah, saya mengambil tempahan membuat gelang kemudian semasa di universiti saya mengambil tempahan membuat kad ucapan.

“Ini disebabkan ayah sering membawa saya ke pejabatnya. Saya sering melihat ayat melaksanakan tanggungjawabnya dengan anak buah dan rakan sekerja,” ujarnya.

Minat Vivy dalam bidang perniagaan menzahirkan bahawa beliau gemar mencabar keupayaan diri selain sentiasa mencari peluang-peluang baharu dalam usaha untuk memajukan perniagaannya.

Bilik penyusuan

Kini, FashionValet mempunyai 180 orang pekerja dan 85 peratus daripadanya adalah wanita.

Lebih membanggakan, Vivy sendiri memberi peluang dan ruang kepada ibu-ibu untuk meneruskan pekerjaan idaman mereka.

“Di FashionValet, kami menyediakan ruang kanak-kanak dan bilik penyusuan untuk ibu-ibu. Jika mereka perlu membawa anak ke tempat kerja tiada masalah, anak-anak boleh bermain dan menonton televisyen di bilik itu.

“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan saya kerana tidak banyak syarikat yang menyediakan kemudahan ini. Saya harap mereka dapat terus bekerja dan jangan jadikan anak sebagai halangan dalam mengejar impian,” tegasnya.

Dalam pada itu, Vivy turut memberitahu sebagai majikan dia sentiasa membawa sifat keibuan dalam syarikatnya. Jika mempunyai sebarang masalah, dia akan menjadi pendamai bagi kedua-dua pihak.

Kejayaan empayar bisnes berasaskan fesyen iaitu FashionValet dan The dUCk Group yang diasaskan Vivy Sofinas Yusof banyak dipengaruhi oleh cara beliau dibesarkan oleh ibunya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini