KUALA LUMPUR 20 Mei- Polis berjaya menyelesaikan kes curi tangki air milik Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa (PIBAKIS) Miri kurang dari 24 jam dengan tertangkapnya dua suspek lelaki Lutong, Miri di Sarawak kelmarin.
Portal Utusan Borneo melaporkan, kedua-dua suspek berusia 21 dan 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.45 petang.
Tangkapan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Miri diketuai Inspektor Fredly Juing.
Terdahulu, kedua-dua suspek dipercayai telah menjual tangki air tersebut kepada seorang pemilik kebun di sini dengan harga RM200.
Bagaimanapun, perbuatan kedua-dua suspek mencuri tangki air di PIBAKIS Miri itu berjaya dirakam kamera litar tertutup kira-kira pukul 8.55 malam pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE











