KUALA LUMPUR 9 Mei – Sebuah kantin dan dua buah kenderaan musnah dalam kebakaran di sebuah ladang kelapa sawit di Sebumbu, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, Sarawak semalam.
Memetik portal Utusan Borneo, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata sebanyak enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.15 petang.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, pasukan BBP Bintulu yang diketuai Wynlie Senin mendapati api sedang marak memusnahkan sebuah bangunan kantin pekerja dua tingkat separa kekal itu.
“Operasi pemadaman terus dijalankan sehingga api dapat dikawal dan padam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, kereta dan pacuan empat roda yang diletakkan berhampiran kantin berkenaan turut musnah dalam kebakaran tersebut.
“Operasi ditamatkan pada pukul 7.25 petang dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
“Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











