`Kami gembira dengan Valverde’ - Utusan Malaysia

`Kami gembira dengan Valverde’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID 16 Mei – Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu memberi gambaran bahawa kedudukan Ernesto Valverde sebagai jurulatih terjamin, walapun apa juga keputusan yang dicatat Catalan dalam perlawanan akhir Copa del Rey.

Barca akan beraksi menentang Valencia di Seville pada 25 Mei ini, dan kemenangan akan memastikan skuad bimbingan Valverde merangkul gelaran domestik kedua.

Namun, kegagalan Barca di tangan Liverpool pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, minggu lalu, telah menyebabkan ketidakpastian masa depan Valverde, dengan sesetengah laporan mencadangkan bahawa kekalahan dalam perlawanan akhir Copa del Rey akan menyebabkan jurulatih itu dipecat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ernesto telah berkata sebelum ini, bahawa dia mendapat sokongan daripada presiden dan ahli lembaga kelab kerana dia adalah jurulatih yang kami mahukan. Dia masih mempunyai kontrak dan kami gembira dengannya,” kata Bartomeu pada majlis pelancaran buku di Barcelona, hari ini.

Valverde menerajui Barca merangkul gelaran La Liga buat kali kedua berturut-turut, tetapi dia masih gagal mengubah nasib pasukannya di pentas Eropah, di mana kali terakhir Catalan layak ke perlawanan akhir ialah pada 2015.

“Perancangan untuk musim depan masih dalam perbincangan. Sekarang kita perlu memberi laluan kepada pemain untuk memulihkan kejutan mental yang dialami mereka. Tetapi apa sahaja keputusan dalam perlawanan akhir Copa tidak akan mengubah apa-apa,” tambah Bartomeu.

Barcelona memiliki kelebihan 11 mata mengatasi pasukan di tempat kedua, Atletico Madrid dalam carta liga, menjelang perlawanan terakhir di Eibar, Ahad ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini