KALAU minta komen menteri tentang peluang pekerjaan di negara ini, biasalah yang akan keluar daripada mulut selalunya nasihat yang macam ini – jangan memilih kerja sangat, ubahlah sikap pemalas tu, malas sangat kan pekerja asing dah ambil kerja tu, gaji rendah pun jangan berkira sangat, kerja saja, asalkan ada kerja atau bersyukurlah, ada kerja walaupun gaji kecil. Tak begitu?
Tetapi macam tak tahu pula, berapa ramai lulusan universiti tempatan termasuk luar negara, kerja biasa-biasa saja, menjadi tenaga kerja separuh mahir sebab tak mahu jadi penganggur. Mereka ini bekerja di luar jurusan yang mereka belajar di pusat pengajian tinggi. Gaji pun rendah, tidak setaraf kelayakan akademik. Ini pun termasuk dalam kategori pilih kerjakah?
Saya pernah menulis dalam ruangan ini tentang seorang lelaki lulusan kejuruteraan dari universiti tempatan akhirnya akur dengan keadaan pasaran kerja sekarang, dia bekerja di kedai kopi premium Starbucks setelah gagal dalam banyak interview kerja kerana overqualified. Ada juga yang bekerja sebagai jurujual di pusat beli-belah. Tak mahu melepak lama di rumah kerana mahu membantu keluarga dan mahu duit saku sendiri, anak-anak muda ini orang kata `rembat’ saja apa kerja yang ada, asalkan dapat duit.
Dan berapa ramai pula lulusan universiti, kembali belajar semula. Belajar kemahiran dalam bidang mekanik, masakan, persolekan, dandanan rambut contohnya, kerana boleh bekerja sendiri. Tak perlu makan gaji. Tak perlu menghadap kerenah penemuduga dalam sesebuah organisasi, yang tanya soalan macam-macam, kadang-kadang tak ada kaitan pun, saja mahu memberi tekanan. Tak tahulah sama ada hendak mengajar calon itu menjadi orang yang kuat semangat, berjiwa kental atau saja-saja nak tunjuk dia saja bagus.
“Ada bekas law student belajar bidang persolekan di sini. Ada bekas pelajar pentadbiran awam, belajar potong rambut di sini. Mereka beralih kepada kemahiran kerana susah dapat kerja,’’ kata seorang guru GiatMara kepada saya baru-baru ini.
Katanya, ibu bapa ramai yang mula sedar tentang pentingnya bidang kemahiran sebab belajar tinggi-tinggi pun, susah hendak dapat pekerjaan sekarang. Dalam setahun beribu-ribu graduan universiti menamatkan pengajian. Saingan untuk mendapatkan pekerjaan, jangan ceritalah.
Dan ramai juga pelajar GiatMara membuka kedai sendiri. Ada yang mengusahakan salon rambut dan kecantikan. Ada yang bermula dengan bekerja secara online atau bekerja dulu dengan orang lain untuk mencari pengalaman, kemudian dalam tempoh tidak sampai setahun dua, sudah ada kedai sendiri.
Sebab itu, kita jangan perlekeh atau pandang rendah anak yang tidak bijak dalam akademik. Kalau mereka diberikan latihan sesuai dengan minat mereka, entah-entah boleh dapat pendapatan yang lebih daripada pemegang ijazah. Hidup mereka pun lebih senang daripada yang makan gaji.
Jadi, tolak tepilah asyik hendak kaitkan soal sikap. Itu cakap-cakap tahun 70-an, 80-an 90-an. Zaman sekarang ini, perbanyakkan dahulu peluang pekerjaan di negara ini dalam pelbagai sektor. Baru boleh cerita siapa malas dan siapa yang rajin sebenarnya.
Jangan asyik kata pekerja asing rajin. Pekerja asing diambil pun kerana kebanyakan majikan mahu membayar gaji rendah. Orang kita mahukah upah rendah? Sudah tentu tidak mahu. Bukan mahu berlagak. Tetapi tengok sajalah kos sara hidup di negara ini, hendak sewa rumah pun lebih RM1,000 di bandar-bandar besar. Itu belum masuk perbelanjaan lain, makan, pengangkutan dan bil-bil lain, kalau gaji setakat RM1,100 manalah cukup.
Nak suruh berjimat? Jangan buat lawak ini lagi. Dengan gaji minimum RM1,100 hendak jimatkan apa? Mereka ini seperti kena terima itulah hakikatnya, kos sara hidup tinggi, cubalah untuk `fit in’. Tak boleh, nasiblah. Bila golongan ini merungut, dikata tidak berbelanja secara berhemah. Lebih baik cari pendekatan untuk kurangkan kos sara hidup, daripada membebel kata rakyat kena jimat dan bijak berbelanja. Isu ini dari zaman pemerintahan dahulu sampai sekarang tak habis-habis.
Dan pada 1 Mei lalu, satu mesyuarat khas Kabinet telah diadakan bagi membincangkan tentang peluang pekerjaan rakyat negara ini. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu dianggap luar biasa kerana berlangsung pada cuti umum Hari Pekerja.
Fokus utama mesyuarat khas itu adalah bagi membincangkan soal mewujudkan peluang pekerjaan demi manfaat rakyat khususnya golongan belia. Mesyuarat ini diselaraskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di bawah tanggungjawab Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Setiap kementerian diminta membentangkan insiatif dan pendekatan masing-masing berhubung perkara itu dan membincangkan bagaimana untuk ruang-ruang sektor ditambah peluang pekerjaan.
Kita mengharapkan melalui mesyuarat yang tak tunggu hari bekerja baru bermesyuarat itu, akan ada banyak peluang pekerjaan diwujudkan dalam semua sektor tidak kira pekerja mahir dan separuh mahir. Bukan apa dah jenuh dengar rakyat dikata malas dan pilih kerja. Harap ada jalan penyelesaian selain mengaitkan tentang sikap rakyat dan saranan berjimat saja.











