TUMPAT – Jenazah Pengasas produk kecantikan jenama Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 40, yang maut kemalangan di Pattani, Thailand hari ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kedemit, Wakaf Bharu, di sini kira-kira pukul 10.20 malam tadi.
Terdahulu, Jenazah Faziani tiba di kampung halamannya pada pukul 6 petang diiringi suaminya dengan menaiki van jenazah untuk disembahyangkan.
Ratusan orang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada usahawan kosmetik itu termasuk menziarahi keluarga Allahyarham.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi waktu Thailand, Faziani bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pattani.
Faziani maut di tempat kejadian manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal cedera di bahagian mata kanan.
Kereta jenis Toyota Estima dipandu Ahmad Shah Rizal dikatakan terlibat kemalangan dengan sebuah lori. – K! ONLINE











