PUTRAJAYA – Rakyat tidak perlu terikut-ikut dengan permainan pihak tertentu yang cuba mencetuskan sentimen negatif serta tidak adil terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang mana beliau turut menyifatkan usaha pihak tertentu tersebut termasuklah mengadakan Deklarasi Rakyat 2.0 kononnya untuk memecat Mahathir hanyalah helah politik untuk memesongkan pemikiran rakyat.
Sebaliknya, beliau menyeru agar rakyat bersama-sama membantu serta memberikan sokongan teguh kepada Perdana Menteri yang bertungkus-lumus memperbetulkan kerosakan dalam sistem pentadbiran negara selain memperkasakan semula kekuatan ekonomi negara.
“Bagi saya, adalah tidak adil sekiranya ada pihak mempertikai apatah lagi menghasut rakyat untuk mengagalkan usaha Perdana Menteri mengembalikan hak rakyat sekaligus meletakkan hala tuju negara pada landasan yang betul dari sudut ekonomi, politik serta pentadbiran.
“Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Mahathir hanya baru berusia setahun dan sudah tentunya banyak perkara yang perlu diperbetulkan semula ekoran kerosakan yang berlaku semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini. Semua pihak perlu akui bahawa usaha pemulihan itu bukan perkara yang mudah. Ibarat sebuah rumah, lebih mudah membina yang baharu daripada membetulkan rumah yang banyak rosaknya,” katanya.
Pada masa sama, Abu Bakar turut menyifatkan gerakan Deklarasi Rakyat 2.0 yang difahamkan mahu mengumpul 1.1 juta tanda tangan bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Perdana Menteri dilihat tidak menepati kehendak rakyat yang telah memilih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Mahathir menerusi pilihan raya serta mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara yang sedia ada. – K! ONLINE











