Jangan korbankan prestasi universiti tempatan dengan kuota "pintu belakang" berlebihan - Utusan Malaysia

Jangan korbankan prestasi universiti tempatan dengan kuota “pintu belakang” berlebihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengakui bahawa Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) sedang memainkan kad perkauman apabila beliau mempertahankan pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai peningkatan pengambilan pelajar matrikulasi daripada 25,000 hingga 40,000 , dengan hanya 42,000 tawaran universiti awam yang sedia ada.

Alasan yang diberikan beliau ialah kerana ia ada hubung kait dengan keperluan bahasa Mandarin untuk pekerjaan tertentu di sektor swasta. Logik beliau tidak masuk akal dan tidaklah munasabah. Amatlah sukar diterima bahawa penambahan kuota di universiti awam akan dapat membantu pelajar universiti dalam mencari kerja. Sebaliknya akan berlaku sekiranya graduan universiti tempatan disamakan dengan pelajar “backdoor” atau matrikulasi secara keseluruhannya.

Kerajaan PH sekali lagi memperlihatkan wajah sebenar – yakni mereka cakap tak serupa bikin, dan bukan saja membuat U-turn secara terang-terangan tetapi akan bertindak bertentangan dengan janji-janji sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum membentuk kerajaan baharu, kerajaan PH, terutamanya DAP, telah berjanji untuk mengamalkan prinsip meritokrasi dalam tadbir urus dan melaksanakan dasar menurut keperluan dan ketelusan.

Sebaliknya, mereka telah melanggar janji yang dibuat kepada pengundi Malaysia yang menyokong untuk sebuah Malaysia Baru, dan kita melihat pengembalian era 1980-an – bersama-sama dengan dasar berasaskan bangsa yang diamalkan Malaysia lama. Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan selepas Tragedi Mei 13 untuk membantu orang Melayu dengan mengurangkan jurang kekayaan antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu, namun Tun Dr Mahathir telah merampas, dan mendefinasikan semula dasar-dasar Bumiputera dalam tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri keempat demi memperkayakan golongan elit dan kroni. Malah, dasar-dasar nepotisme beliau juga sering dikritik oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain.

Akhirnya, Tun Dr Mahathir dan Tun Daim telah mewujudkan satu generasi Bumiputera yang kaya di luar kemampuan mereka dan terlalu bergantung dan ketagih kepada bantuan kerajaan. Tetapi ini bukan fokus kita buat masa ini.

Isu sekarang adalah untuk menjelaskan kuota matrikulasi yang dilihat secara matakasar sebagai baik, kerana pada dasarnya terdapat tambahan 15,000 penempatan baru berbanding peruntukan lama sebanyak 25,000. Namun implikasinya adalah negatif dan padah.

Dasar afirmatif bertujuan mewujudkan peluang yang sama rata kepada pelajar Bumiputra ini akan bertukar wajah dengan mewujudkan keadaan yang tidak adil dan tidak sihat apabila universiti awam dimonopoli pelajar “backdoor” Bumiputra melalui matrikulasi semata-mata.

Sebanyak 90 peratus atau monopoli kesemua tempat universiti tempatan atas ras adalah sangat tidak munasabah dan tidak dapat dijustifikasikan.

Secara kolektifnya, 40,000 pelajar matrikulasi tersebut akan ditawar tempat dalam universiti awam dari jumlah pengambilan 41,573 pada tahun lepas. Ini bermaksud hampir 90 peratus tempat dalam universiti-universiti awam akan pergi kepada pelajar-pelajar matrikulasi. Nisbah ini jauh berbeza daripada demografi 67.4 peratus kaum Bumiputra di Malaysia, termasuk Bumiputra di Malaysia Timur.

Apa yang tidak dijelaskan Dr Maszlee adalah apabila beliau menambahkan pengambilan matrikulasi dari 25,000 hingga 40,000, maksudnya terdapat sebanyak 40,000 pelajar yang akan memasuki universiti awam yang penempatannya tidak boleh berkembang sebanyak 60 peratus dalam jangka masa yang singkat – maka 40,000 pelajar matrikulasi akan mengambil 96.22 peratus peletakan universiti awam. Ini hanya meninggalkan 1,573 penempatan untuk lulusan STPM daripada jumlah 42,849 pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum, atau hanya 3.67 peratus pelajar STPM akan memasuki universiti awam.

Terdapat juga beberapa masalah yang berpunca daripada peningkatan tempat matrikulasi sebanyak 15,000 pelajar:

1. Infrastruktur. Bolehkah MARA atau kolej matrikulasi lain menampung peningkatan sebanyak 60 peratus ini? Adakah terdapat kelas yang cukup?

2. Tenaga Manusia. Adakah jumlah guru mencukupi? Adakah Menteri Pendidikan bercadang untuk menambah nisbah antara pelajar: guru?

3. Kualiti. Adakah kualiti pendidikan akan dikorbankan demi saiz kelas yang lebih besar? Kualiti graduan yang sedia ada sudah bermasalah di mana ramai majikan mendakwa bahawa kualiti graduan tempatan bukanlah sepertimana yang mereka harapkan.

4. Pekerjaan. Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah pengangguran pada tahun 2017 di kalangan rakyat Malaysia yang berpendidikan tinggi adalah 174,100, atau 34.6 peratus daripada jumlah 463,700 rakyat Malaysia yang menganggur. Peningkatan kuota matrikulasi jelas mempunyai implikasi yang serius dan negatif.

5. Pembiayaan. Bolehkah PTPTN atau kerajaan membiayai penambahan pelajar matrikulasi sebanyak 60 peratus? PTPTN perlu mengutip RM4 bilion setahun supaya ia boleh memberi pinjaman kepada pelajar baru dan sedia ada, akan tetapi ia hanya berjaya mengutip antara RM150 juta hingga RM180 juta sebulan, atau kira-kira RM1.8 juta setahun. Dari manakah pelajar-pelajar ini boleh memohon untuk bantuan kewangan jika PTPTN tidak dapat menampung pemberian pinjaman pendidikan tersebut?

Mengenai isu penempatan universiti, ia tidak adil bagi pelajar STPM apabila hanya 1,573 akan diterima masuk ke universiti awam daripada jumlah 42,849 pelajar. Ia harus ditekankan bahawa lulusan STPM terdiri daripada pelajar-pelajar yang terbaik di kalangan lulusan SPM. Tindakan menafikan pelajar-pelajar cemerlang ini peluang melanjutkan pelajaran mereka ke universiti tempatan seakan menghalau mereka ke negara lain, di mana bakat-bakat ini akan membantu membangunkan negara yang menawarkan mereka peluang pendidikan tinggi.

Fenomena “brain drain” ini merupakan punca utama negara kita semakin kurang berdaya saing, kurang inovatif dan kurang produktif jika dibandingkan dengan Singapura. Adakah kita mahu fenomena “brain drain” ini, yang telah memundurkan Malaysia selama 20 tahun lalu, terus berlarutan?

Adakah Dr Maslzee sengaja cuba “meracun”, “memusnahkan” ataupun “melumpuhkan” Malaysia?

Tindakan Tun Dr Mahathir mempertahankan retorik politik rasis Dr Maszlee bercanggah dengan perjuangan PKR dan DAP yang dididakwa tidak berasaskan perkauman, sekaligus memenangi sokongan pengundi-pengundi bandar yang telah muak dengan dasar-dasar aifrmatif Tun Dr Mahathir, demi menubuhkan sebuah Malaysia Baru.

Ia amat mengecewakan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dilihat “kehilangan taring”. Ia juga amat ironik kerana kedua-dua mereka merupakan “backbencher” kerajaan (bukan Menteri) yang berperanan menyemak dan mengimbang kerajaan.

Selama ini, Tun Dr Mahathir tidak pernah mendukung prinsip meritokrasi, malah bukunya bertajuk “The Malay Dilemma” menceritakan misi politiknya untuk “mengangkat” orang Melayu.

Misi sebegini tidak ada salahnya, jika bantuan diberi berdasarkan keperluan dan bukannya mengikut kaum. Saya memperakui bahawa kaum Bumiputra memang memerlukan bantuan, tetapi ia tidak patut mengorbankan kepentingan kaum-kaum lain. Ia tidak adil bagi anak-anak Cina dan India yang miskin dinafikan peluang pendidikan tinggi, manakala anak-anak Bumiputra yang kaya pula diberi biasiswa dan bantuan.

Ini tidak selaras dengan prinsip dan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan Dr Maszlee mengaitkan kuota matrikulasi dengan pengambilan pekerja Bumiputra dalam sektor swasta tidak munasabah, kerana sektor swasta tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana orang hanya kerana kaumnya.

Sekiranya terdapat keperluan bahasa, ia adalah kerana skop kerjanya, dan sektor swasta perlu mencari pekerja-pekerja yang terbaik demi mengekalkan kedudukan daya saingnya.

Sebaliknya, Dr Maszlee disaran mengkaji sistem pendidikan negara untuk mencari punca ia gagal mewujudkan lebih ramai usahawanan Melayu untuk membantu industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini secara langsung mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk graduan-graduan Bumiputra. Sekiranya Dr Maszlee ingin membandingkan pekerjaan berdasarkan perkauman dalam sektor swasta, ia harus ditekankan bahawa setakat Disember 2014, komposisi kaum dalam sektor awam yang berjumlah 1.6 juta pekerja adalah 90 peratus Bumiputra, 5.2 peratus Cina, 4.1% India dan 0.7 peratus lain-lain.

Menurut Jabatan Perangkaan, pada tahun 2017 terdapat sebanyak 8.438 juta pekerja Bumiputra, 3.206 juta pekerja Cina, 929,700 pekerja India dan 104,200 pekerja lain-lain, dengan jumlah tenag kerja sebanyak 12.678 juta orang, atau 66.56 peratus Bumiputra, 25.29 peratus Cina, 7.33 peratus India dan 0.82 peratus lain-lain. Jadi, apakah logik Dr Maszlee apabila menuduh sektor swasta mendiskriminasikan pekerja Bumiputra?

Berdasarkan data ini, Dr Maszlee harus menjawab jika kerajaan PH sedia menambahkan pengambilan pelajar bukan Bumiputra ke dalam sektor awam?

TI LIAN KER
 

 

Senator Datuk Seri Ti Lian Ker adalah Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Polisi (INSAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini