Isytihar harta termasuk dalam KPI menteri - Utusan Malaysia

Isytihar harta termasuk dalam KPI menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, skop Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) termasuk pengisytiharan harta akan dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) jemaah menteri Kabinet. 

Beliau berkata, semua menteri juga harus memastikan anggota pentadbiran di bawah kementerian masing-masing mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) yang bermesyuarat pagi tadi turut menerima empat cadangan daripada Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) untuk tujuan itu sebagai bukti komitmen dan akauntabiliti semua menteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua menteri dan timbalan menteri perlu mengisytiharkan harta masing-masing dan kita juga akan panjangkan perkara ini kepada semua Ahli Parlimen walaupun mereka dalam parti lawan.

“Selain itu, semua menteri juga perlu mewujudkan dan melaksanakan dasar penerimaan hadiah di kementerian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan JKKMAR 3/2019 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, semua menteri harus menandatatangani akujanji mengeluarkan arahan dan memastikan pelaksanaan dasar berhubung penerimaan hadiah itu dilaksanakan.

“Semasa menjadi Perdana Menteri ke-4 sebelum ini, saya pernah terima 26 buah kereta tetapi saya pulangkan balik. Kalau nak tengok, boleh pergi ke Langkawi (Galeria Perdana).

“Di bawah kerajaan PH sekarang nilai hadiah yang diterima tidak boleh lebih daripada RM500 makanan, buah dan bunga,” katanya.

Sementara itu, Mahathir berkata, tiga cadangan lain yang dibawa oleh GIACC ialah melaksanakan pelan antirasuah di peringkat organisasi masing-masing, mengadakan mesyuarat pemantapan governans, integriti dan antirasuah di peringkat kementerian serta meningkatkan ketelusan perolehan awam dan pengurangan risiko rasuah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini