LONDON – Sebuah peranti generasi pertama iPod keluaran Apple berjaya dilelong pada harga lebih 50 kali ganda daripada harga asal semasa pelancarannya kira-kira 18 tahun lalu, lapor akhbar Daily Mirror.
Peranti elektronik itu mula dikeluarkan Apple pada tahun 2001 pada harga AS$399 (RM1,659) sebuah, namun ada seunit kini disenaraikan di laman lelongan dalam talian eBay pada harga AS$19,995 (RM83,200).
Penjual yang menggunakan nama bestgadgets berkata, ia adalah model iPod generasi pertama yang masih berada dalam bungkusan kilang dan kotak asal.
“Saya merupakan seorang pengumpul peranti Apple sejak sekian lama dan iPod 5-Gigabyte ini adalah koleksi peribadi sejak dua dekad yang disimpan dalam suhu sejuk serta jauh dari cahaya matahari,” kata bestgadgets.
Dia memberi jaminan peranti itu tidak pernah digunakan atau disentuh serta disertakan dengan fon kepala ikonik, aksesori pengecas dan buku manual penggunaan. – Agensi











