PADA 2005, penulis bersama beberapa rakan pimpinan organisasi masyarakat sivil berpeluang menyumbangkan input ke arah mengukuhkan perjalanan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM.
Suruhanjaya tersebut yang ketika itu dipimpin bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Hanif Omar telah mendengar beberapa cadangan daripada pelbagai pihak. Kami memfokus kepada penambahbaikan aspek kebajikan anggota khususnya keadaan perumahan dan menggagaskan penubuhan sebuah kor agama.
Susulan itu, kewujudan Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) direalisasikan hasil daripada laporan suruhanjaya itu pada 13 Mei 2005. Suruhanjaya mencadangkan agar unit agama ditubuhkan untuk pembangunan kerohanian dan moral anggota polis yang kemudiannya diwujudkan Baka dan dalam skala yang besar di semua peringkat PDRM.
Selepas lebih 14 tahun, kini cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kembali mengetengahkan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk melihat sebuah institusi berwibawa yang dapat memperkukuh perjalanan dan pentadbiran pasukan polis.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menzahirkan komitmen untuk menyokong IPCMC manakala Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan penubuhannya menjelang akhir tahun ini.
Pada hemat penulis, cadangan dan kerangka penubuhan IPCMC sekiranya tidak mempunyai sebarang percanggahan dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan menyantuni hak-hak asasi manusia khususnya anggota-anggota polis yang menjadi subjek pengawasant, akan dapat berperanan sebagai institusi pengawas yang berkesan.
IPCMC tidak boleh menjadi alat politik untuk menekan pasukan polis dalam menjalankan tugas secara adil dan saksama. Ruang seadil-adilnya perlu diberikan kepada PDRM dalam meneruskan peranan tersebut.
Oleh demikian, pandangan PDRM sendiri mengenai beberapa perkara berkaitan kerahsiaan dan keselamatan negara hendaklah diambil kira sepenuhnya dalam menentukan bentuk undang-undang yang akan mengawal selia fungsi dan peranan IPCMC.
Sekiranya berlaku aduan yang sahih dan berasas sama ada tuduhan kecederaan mahupun kematian banduan dalam tahanan atau rasuah dan penyalahgunaan kuasa, maka jaminan keadilan perlu diwujudkan untuk anggota yang dituduh.
Ini termasuk hak untuk mendapat wakil undang-undang serta hak merayu terhadap keputusan IPCMC. Hal ini berdasarkan hak kesamarataan yang dijamin Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan pula, IPCMC boleh menghayati prinsip-prinsip hisbah dalam memandu pelaksanaan objektif-objektif yang dihasratkan.
Dalam konteks ini, usaha memperkukuh fungsi dan peranan IPCMC boleh menimbangkan agar status Baka diperkasakan dan dinaiktaraf sebagai sebuah kor agama PDRM. Ini sekali gus dapat berfungsi sebagai sebuah sayap yang memberikan pemetaan strategi yang betul dalam membentuk nilai moral dan etika dalam PDRM dengan lebih berkesan.
Sebagaimana fungsi dan peranan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (Kagat), penugasannya telah membawa begitu banyak perubahan dalam bidang kerohanian dari semasa ke semasa. Kekuatan spiritual bagi seseorang anggota tentera dilihat sebagai elemen penting dalam memungkinkan Kagat memperkasa gerakan dan tugasannya yang penting dan unik.
Begitu juga sepatutnya sebuah pasukan polis yang berwibawa dan berada di baris hadapan ketenteraman awam perlulah berpegang teguh dengan kefahaman dan ajaran Islam yang syumul. Prinsip-prinsip asas dalam Islam yang sudah pun menekankan kepatuhan, disiplin, ketelusan serta nilai-nilai utama yang menjadikan seseorang insan itu seorang warganegara yang baik, sama ada anggota Muslim atau bukan Muslim, perlu menjadi inspirasi bagi menjamin kekuatan rohani dan pegangan etika para anggota PDRM agr sentiasa berada di dalam keadaan yang terpelihara dengan nilai-nilai mulia.
Penzahiran IPCMC sebagai institusi pengawas PDRM tidak sepatutnya dilihat dari sudut yang terpisah dengan dimensi agama.
Tatkala wujud pihak yang khuatir peranan IPCMC yang didakwa boleh mengehadkan kuasa dan keberkesanan pasukan polis, cadangan penubuhan institusi ini pada hakikatnya perlu dilihat dengan kaca mata objektif, iaitu membuka peluang untuk melahirkan anggota polis lebih berwibawa melalui pendekatan Islam yang menyanjung tinggi nilai-nilai yang sudah pun wujud dan sedia diamalkan PDRM semenjak sekian lama.
PENULIS ialah seorang peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan & Advokasi Hak Asasi Manusia (Centra)











