PUTRAJAYA – Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dibentuk sebelum akhir tahun ini selepas pihak polis berpuas hati dengan penjelasan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, sebelum ini beliau dimaklumkan ada beberapa perkara yang kurang difahami dan mewujudkan kebimbangan termasuk soal kuasa, hak merayu, perkara berkaitan disiplin, dan seolah-olah pihak polis tidak ada kuasa langsung.
Namun, katanya, pihak-pihak yang hadir dalam pertemuan dengan Ketua Pengarah GIACC Tan Sri Abu Kassim Mohamed di Putrajaya pada Jumaat lepas berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.
“(Ada) Perkara-perkara yang menjadi persoalan dan kemusykilan di kalangan pihak polis di semua peringkat termasuk persatuan. Dan dengan keputusan yang amat baik, maka IPCMC akan terbentuk nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara baharu di sini hari ini.
Abu Kassim baru-baru ini berkata, penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Bernama











