SETELAH dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara kurang 50 hari, akhirnya Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini disahkan oleh kerajaan sebagai Ketua Polis Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Pemilihan beliau ini sekali gus menamatkan teka-teki siapa pengganti Mohamad Fuzi yang akan bersara wajib Jumaat ini. Banyak pihak sebenarnya telah menduga awal pelantikan Abdul Hamid ini berikutan kelantangannya ketika negara heboh memperkatakan tentang skandal 1MDB ketika era pemerintahan terdahulu.
Beliau dikenali sebagai pegawai polis yang berani mendedahkan skandal 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Noor

Rashid Ibrahim yang bersara pada 15 Mac lalu.
Sebelum itu Abdul Hamid dipilih menganggotai Pasukan Petugas Khas 1MDB bersama tiga lagi yang lain termasuk bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhjaya SPRM sekarang, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul.
Pada 2015, Abdul Hamid yang hampir empat dekad berkhidmat di PDRM menggamit perhatian ramai apabila membuat dakwaan tentang permasalahan dalam isu 1MDB. Beliau mendedahkan ada pihak tertentu menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1MDB.
Sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas ketika itu, beliau mendesak siasatan berkaitan skandal 1MDB dibuat secara telus.Namun akibat pendedahan dan keberanian beliau itu, Abdul Hamid dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri bersama-sama Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Bahri Mohd. Zin.
Perpindahan Abdul Hamid ini berlaku selepas sebulan Peguam Negara waktu itu, Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan.
Di Jabatan Perdana Menteri, beliau ditugaskan memantau isu keselamatan dan transnasional. Namun Abdul Hamid dilapor berkata, perintah perpindahannya itu tidak didedahkan kepada sesiapa dan beliau mendakwa hanya diberitahu untuk melaporkan diri di JPM pada 2 September 2015.
TERGAMAM
Namun Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan pemindahan Abdul Hamid itu adalah secara paksaan. Semasa mengulas peristiwa perpindahan itu, kata Abdul Hamid: “Mereka mungkin meragui taat setia saya untuk melaksana agenda tertentu. Saya (bersikap) profesional dan apa yang saya siasat, itulah hasil siasatan.
“Kami tidak akan tukar laporan menjadi sebaliknya. Kita akan beritahu perkara yang sebenar, mungkin mereka tak suka dan mahu dengar sesuatu yang indah. Nak syok sendiri. Mungkin juga (saya ditukar) kerana kerap berkata supaya lakukan siasatan 1MDB dengan telus,” katanya dalam satu sidang media pada 2015.
Abdul Hamid turut mendedahkan ketika isu pertukarannya, beliau dipanggil berjumpa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bukit Aman dua minggu sebelum surat pertukaran dikeluarkan.
Dalam pertemuan itu, dakwanya, beliau diberi dua pilihan ditukar ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau JPM. Kata dua itu dibuat selepas pertemuan dengan Ahmad Zahid dan Najib.
“Saya dipanggil masuk dan dia sampaikan bahawa perdana menteri beri saya dua pilihan sama ada ditukarkan ke MKN atau JPM. Saya tergamam dan terkejut. Saya termenung sejenak.
“Berat betul hukuman saya terima sampai kena keluar dari PDRM, saya berkata dalam hati. Macam seolah-olah saya lakukan dosa besar dan tak boleh diampunkan sampai kena di jinak di luar PDRM,” katanya.
Pada sidang akhbar lain yang diadakan pada tahun sama, Abdul Hamid turut mendakwa terdapat ‘kuasa tidak kelihatan’ yang tidak selesa dengannya sebagai orang nombor dua di Cawangan Khas.
“Ia mungkin ada kaitan dengan ketelusan saya menegaskan bahawa isu 1MDB perlu disiasat sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut mendedahkan ketika itu, tanpa memberi maklumat terperinci dengan mendakwa salah seorang saksi utama itu telah bersembunyi di Indonesia dan Thailand. Abdul Hamid turut mendakwa ketika itu salah seorang saksi itu berada di New Zealand untuk menyembunyikan dirinya.
PEMBUNUH UPAHAN?
Ketegasan dan keberanian beliau ketika itu dilihat melawan arus. Langsung tidak gentar dengan sebarang tindakan yang dikenakan terhadapnya, malah berterusan mendedahkan isu-isu berkait skandal 1MDB secara konsisten.
Abdul Hamid turut menasihatkan kerajaan untuk menjelaskan isu itu dengan sebaik-baiknya kepada rakyat dan menggesa mereka yang terlibat di dalamnya turut tampil berbuat demikian.
Beliau turut memberitahu ketika itu ramai rakan yang ikhlas menyuarakan kebimbangan serta keselamatan beliau.
Malah ada yang meminta Abdul Hamid supaya lebih berhati-hati kerana berkemungkinan besar terdapat pembunuh upahan yang diupah oleh pihak-pihak berkaitan untuk membunuhnya. Tetapi bagi Abdul Hamid, beliau tidak akan sesekali berundur.
“Jika saya gugur sekalipun saya yakin perjuangan saya tidak akan terhenti di situ sahaja. Ingin saya tegaskan di sini bahawa usaha saya ini bukannya bermatlamatkan untuk mendabik dada demi kemenangan. Usaha saya ini hanya untuk menegak keadilan,” katanya dalam surat terbuka kepada kerajaan dikeluarkan pada 2015.
Bagaimanapun berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lepas, khidmat beliau di dalam bidang kepolisan kembali ditagih apabila kembali semula ke PDRM.
Abdul Hamid dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, beberapa minggu selepas PH membentuk kerajaan pada 9 Mei, menggantikan bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd Sharif yang bersara awal.
Kredibiliti dan ketegasan beliau menentang rasuah dilihat banyak pihak telah menaikkan imej PDRM di mata rakyat. Ini selaras dengan tekad kerajaan Dr. Mahathir mahu membanteras gejala rasuah ke akar umbi.
Semangat dan keazaman tinggi Abdul Hamid menentang rasuah perlu diangkat sebagai agenda utama sepanjang kepimpinan beliau di Bukit Aman.
Selamat bertugas Abdul Hamid.











