KUALA LUMPUR 16 Mei – Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan enam inisiatif bagi meningkatkan kecekapan pasaran serta akses dan mudah tunai pasaran kewangan domestik, sekali gus memastikan pasaran kewangan domestik terus teratur dan telus.
Antara inisiatif itu termasuklah program lindung nilai dinamik yang diperkenalkan pada Disember 2016, menyediakan saluran kepada pelabur bukan pemastautin untuk menguruskan dedahan pertukaran asing dalam negeri secara aktif.
Menurut Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus, setakat ini, program tersebut mempunyai 88 pelabur berdaftar dengan jumlah aset diurus sebanyak AS$30.8 bilion (RM128.19 bilion).
Katanya, bagi memudahkan pengurusan risiko pertukaran asing dengan mengambil kira profil pelaburan institusi, pelabur institusi berdaftar boleh menandatangani kontrak hadapan untuk membeli ringgit melebihi had semasa 25 peratus (daripada aset asas) setelah mendapat kelulusan BNM.
“Dalam usaha membangunkan platform lindung nilai yang berkesan bagi pelabur, BNM bersama-sama Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan peserta utama pasaran akan terus menambah baik mekanisme penghantaran bagi penyelesaian niaga hadapan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS),” katanya dalam pembentangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2019 di sini hari ini.
Inisiatif itu juga merangkumi rangka kerja Pejabat Luar Negeri yang Dilantik (AOO) yang diperluas pada 2016 berperanan meningkatkan akses kepada pasaran kewangan Malaysia menerusi penyediaan mudah tunai ringgit di luar waktu dagangan tempatan.
“Kini, terdapat 156 AOO daripada 21 kumpulan perbankan yang beroperasi di 36 buah negara. BNM akan terus memudahkan kapasiti mengaktifkan pasaran AOO untuk memastikan akses kepada harga dalam ringgit adalah mencukupi,” katanya.
April lalu, laporan Bloomberg menunjukkan Malaysia boleh kehilangan hampir AS$8 bilion (RM33.10 bilion) jika FTSE Russell menggugurkan hutang Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan FTSE Global (WGBI) berikutan kebimbangan mengenai kecairan pasaran, sekali gus menjejaskan prestasi mata wang tempatan dan pasaran bon.
Susulan itu, Bursa Malaysia muncul pasaran utama paling teruk di dunia setakat ini, yang mengalami penurunan sebanyak 3.5 peratus, yang dijangka berlarutan sehingga 2020.
FTE Russell meletakkan Malaysia dalam pemerhatian selama enam bulan dengan satu lagi semakan pada September ini. Norway juga sebelum itu berkata, dana kekayaannya akan memotong hutang pasaran baharu muncul termasuk indeks sekuriti Malaysia.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada inisiatif tersebut dibuat bagi menangani isu berkenaan, Nor Shamsiah berkata, ia hanya secara kebetulan dan langkah yang diambil Norway itu tidak memberi impak yang signifikan kepada Malaysia.











